SP Setia lantik Tan Hwa Min sebagai Timbalan CEO, Datuk Yuslina sebagai COO

22/09/2025 - 14:28
Tan Hwa Min (kiri) dan Datuk Yuslina Mohd Yunus (kanan) Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 22 Sept – SP Setia Bhd mengumumkan pelantikan baharu bagi memperkukuh pasukan kepimpinan eksekutifnya, susulan pelantikan Datuk Zaini Yusoff sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu berkuat kuasa 1 Oktober 2025.
Dalam satu kenyataan, SP Setia berkata, Tan Hwa Min dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Timbalan CEO) berkuat kuasa 17 November 2025 manakala Datuk Yuslina Mohd Yunus akan mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Operasi (COO) pada 1 Oktober 2025.
“Pelantikan tersebut selaras dengan agenda pembangunan bakat kepimpinan dalaman serta usaha menarik tenaga profesional berkaliber dari luar bagi memperkukuh hala tuju strategik Kumpulan,” kata SP Setia.
Tan kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Strategi IJM Corporation Bhd dan Pengarah Urusan IJM RE Sdn Bhd dengan pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang pembangunan hartanah dan transformasi strategik.
Beliau juga pernah memegang jawatan COO di TRX City Sdn Bhd di mana beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan Tun Razak Exchange.
Sementara itu, Yuslina yang menyertai SP Setia sejak 2018 kini merupakan Naib Presiden Eksekutif Kanan.
Beliau sebelum ini berkhidmat di Kumpulan I&P dan mempunyai rekod kepimpinan meluas termasuk mengurus enam bandar utama syarikat seperti Setia Alam, Setia Eco Park dan Setia Eco Glades.
Dalam pada itu, Pengerusi SP Setia, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata, pelantikan kedua-dua tokoh itu mencerminkan komitmen syarikat untuk melahirkan barisan kepimpinan berwawasan.
“Kehadiran profesional berpengalaman dengan pandangan strategik baharu, digandingkan dengan bakat dalaman berkaliber, akan membantu Setia mengukuhkan budaya inovasi, daya tahan dan kepimpinan berwawasan,” katanya.
SP Setia yang ditubuhkan sejak 1974 kini merupakan antara pemaju hartanah tersenarai terkemuka di Malaysia dengan portfolio merangkumi perbandaran, kediaman bertingkat, projek komersial serta pembangunan antarabangsa di Vietnam, Australia, Singapura, China dan United Kingdom.
Setakat 30 Jun 2025, syarikat mempunyai 42 projek aktif dengan bank tanah seluas 5,191 ekar dan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM113 bilion.
Jualan belum dibil pula berjumlah RM3.9 bilion. - DagangNews.com
standard

