Bekas CEO Bank Rakyat, Rosman Mohamed dilantik sebagai Pengerusi baharu UAC Bhd

18/09/2025 - 16:38
Datuk Seri Rosman Mohamed Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 18 Sept – UAC Bhd, anak syarikat Boustead Holdings Bhd melantik bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan ahli lembaga Bank Rakyat, Datuk Seri Rosman Mohamed sebagai pengerusi baharu berkuat kuasa 17 September.
Ditubuhkan pada tahun 1963, UAC merupakan pengeluar dan pembekal papan simen gentian dengan eksport yang kukuh di lebih daripada 60 negara.
Susulan pelantikan itu, Rosman meletakkan jawatannya sebagai Ahli Lembaga Boustead.
UAC dalam satu kenyataan berkata, Rosman memiliki lebih daripada empat dekad pengalaman dalam pasaran domestik dan antarabangsa.
“Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Abdul Latif Jameel di Arab Saudi, pengedar Toyota terbesar di dunia, selama tujuh tahun.
“Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan kanan di Cabot Corp, Amerika Syarikat, sebagai pengarah sumber manusia wilayah Asia dan pengarah jualan serta pemasaran, selain memegang jawatan kepimpinan di Rothmans, British American Tobacco dan Maybank,” menurut kenyataan itu.
Selain peranan baharu beliau di UAC, Rosman kini turut menyandang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah di EcoWorld, Khind dan PiCorp.
Beliau juga merupakan pengerusi Ni Hsin EvTech Sdn Bhd, profesor lantikan di Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, serta penasihat strategik kepada GloCoach, sebuah syarikat pembangunan bakat digital global yang memanfaatkan kecerdasan buatan. - DagangNews.com
standard



