
SHAH ALAM, 3 OGOS: Status kekosongan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dijangka dimuktamadkan minggu ini sebelum dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menentukan tindakan selanjutnya, kata Dato' Menteri Besar.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun proses itu bergantung kepada keputusan Speaker Dewan Negeri, Lau Weng San yang mempunyai kuasa prerogatif untuk mengumumkan kedudukan kerusi berkenaan.
Menurutnya, penasihat undang-undang sedang menyiapkan penelitian berkaitan perkara itu sebelum dimaklumkan kepada pihak berkaitan.
“Itu prerogatif Speaker (pengumuman kekosongan kerusi), bukan saya punya kedudukan. Saya rasa LA (penasihat undang-undang) akan siapkan nota.
”Saya ingat maksimum minggu ini kita akan maklumkan kepada pihak tertentu tentang posisi dan kedudukan kerusi tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Penjawat Awam dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Selangor di sini hari ini.

Amirudin menambah, keputusan sama ada pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan bukan ditentukan Kerajaan Negeri, sebaliknya tertakluk kepada penilaian SPR mengikut peruntukan undang-undang.
“Kita kena akur. Sebab ia adalah keputusan SPR atas pengumuman yang akan dibuat oleh Speaker. Pilihan kita ikut undang-undang. Undang-undang itu pilihan terbaik,” katanya.
Sementara itu, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Lau Weng San memberitahu yang status membabitkan semua Ahli Dewan Negeri (ADN) tanpa mengira parti masih dalam proses semakan sebelum sebarang pengesahan atau tindakan diputuskan.
"Semua kawasan saya semak. Memang saya semak. Saya akan beritahu selepas saya dapat maklumat nanti kerana proses itu mengambil masa," katanya kepada media di Bangunan Annexe, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Weng San berkata pihaknya tidak akan membuat sebarang andaian berhubung kedudukan mana-mana ADN selagi proses semakan belum selesai.
"Kita kena pasti dahulu. Kita tidak boleh membuat apa-apa andaian. Selepas kita selesai semua urusan itu, barulah kita membuat pengenalpastian. Perlu semak semua daripada mana-mana parti kerana kita tidak mahu terlepas sebarang kemungkinan," ujarnya.
Beliau turut menjelaskan ketidakhadiran mana-mana ADN pada persidangan DNS bukanlah petunjuk wujudnya masalah.
"Ada yang cuti sakit, ada yang tidak boleh hadir. Jadi, tidak semestinya dia tidak hadir hari ini bermaksud dia ada masalah. Jangan ada prasangka. Kita semak dahulu kerana ia mengambil sedikit masa," tambahnya.
Menurut beliau, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri memperuntukkan seseorang ADN boleh kehilangan kerusinya sekiranya gagal menghadiri persidangan Dewan selama enam bulan berturut-turut tanpa sebarang makluman rasmi.
"Kalau seseorang ADN itu tidak hadir sidang mesyuarat dalam tempoh enam bulan tanpa sebarang maklumat rasmi, maka kerusi itu boleh dikosongkan.
"Perkara itu memang mempunyai preseden (duluan) sebelum ini, termasuk membabitkan ADN Kuang pada penggal lalu dan ADN Pelabuhan Klang pada 2008," ujarnya.
Jelasnya, pihaknya belum menghantar sebarang maklumat rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tiada keputusan muktamad dibuat.
"Kalau saya hantar, itu bermaksud ada keputusan tertentu dan perkara itu terpulang kepada SPR untuk memutuskan," katanya.






