Anthony Loke letak jawatan Pengerusi DAP Negeri Sembilan

LocalPolitics
3 Aug 2026 • 11:49 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Anthony Loke letak jawatan Pengerusi DAP Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Setiausaha Agung DAP Anthony Loke hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang menyaksikan beliau gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah.

Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata keputusan itu dibuat atas rasa tanggungjawab selain telah memegang jawatan berkenaan selama 22 tahun.

“Saya rasa sekarang tiba masanya untuk saya berundur sebagai Pengerusi Negeri dan menyerahkan kepada kepimpinan negeri ataupun Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan untuk melantik serta memilih seorang daripada Ahli Jawatankuasa sedia ada untuk menjadi Pengerusi Negeri Sembilan yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) di Ibu Pejabat DAP di sini malam ini.

Turut hadir Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo, Timbalan Setiausaha Agung DAP Hannah Yeoh dan barisan pimpinan tertinggi parti itu.

Mengulas lanjut, Loke berkata satu mesyuarat Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan akan diadakan dalam masa terdekat bagi memilih pengerusi dan barisan pimpinan parti yang baharu.

Beliau berkata keputusan melepaskan jawatan Pengerusi DAP Negeri Sembilan dibuat atas kehendaknya sendiri tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.

Pada masa sama, Loke memaklumkan beliau akan terus memikul tanggungjawab sebagai Setiausaha Agung DAP selepas barisan CEC secara sebulat suara bersetuju supaya Ahli Parlimen Seremban itu terus memimpin parti untuk mendepani cabaran mendatang terutama pada Pilihan Raya Umum ke-16.

Sebelum ini, Loke berkata beliau sedia menimbangkan untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan susulan prestasi parti itu pada PRN Sabtu lepas.

Kerajaan baharu negeri itu dibentuk menerusi kerjasama Barisan Nasional dan Perikatan Nasional apabila masing-masing memenangi 18 dan tujuh kerusi pada PRN Negeri Sembilan manakala Pakatan Harapan memenangi 11 kerusi, yang menyaksikan Loke gagal mempertahankan DUN Chennah yang disandangnya sejak tiga penggal lepas.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved