Speedy Tigers mudah faham taktikal Carolan

8 Aug 2026 • 10:55 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Speedy Tigers mudah faham taktikal Carolan

PETALING JAYA: Tempoh singkat mengendalikan skuad hoki kebangsaan bukan penghalang buat ketua jurulatih, Brendon Carolan untuk membentuk keserasian bersama pemain apabila mereka dilihat semakin cepat menyesuaikan diri dengan corak permainan dan taktikal yang diterapkannya.

Pengendali dari Afrika Selatan itu berkata, asas yang telah dibina barisan kejurulatihan terdahulu memudahkan proses penyesuaian, selain menganggap pemain negara memiliki tahap pemahaman yang tinggi terhadap permainan.

“Ya, saya rasa mereka sudah melakukannya. Banyak perkara yang mereka lakukan bersama jurulatih terdahulu, saya rasa semuanya hanya perlu disatukan.

“Mereka pemain hoki yang cukup bijak, jadi saya rasa mereka sedang menyesuaikan diri. Sistem kami ketika ini adalah untuk membuat persiapan menghadapi tiga pasukan di Piala Dunia. Setakat ini semuanya berjalan lancar,” katanya.

Speedy Tigers kini sedang mempersiapkan diri bagi menghadapi Piala Dunia yang membuka tirainya pada 15 Ogos ini di Wavre dengan diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan, Jerman, tuan rumah Belgium dan Perancis.

Kata Carolan lagi, skuad negara turut didedahkan dengan pelbagai pendekatan taktikal bagi memastikan mereka mampu menyesuaikan diri dengan corak permainan lawan yang berbeza.

“Jika menentang pasukan yang bermain secara zon, anda perlu bijak mencari ruang di antara barisan. Jika menentang pasukan yang mengamalkan kawalan individu pula, anda perlu lebih kuat dari segi fizikal.

“Setiap perlawanan memerlukan pendekatan berbeza, namun kekuatan kami ialah corak hoki menyerang. Kami bermain dengan corak yang baik, cuma kami perlu lebih tajam dalam penyudah dan memperkukuhkan aspek pertahanan,” katanya.-UTUSAN

The post Speedy Tigers mudah faham taktikal Carolan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved