Siri Google Pixel 10 akan dilancarkan pada 20 Ogos ini dengan ia disahkan akan memasuki pasaran Malaysia. Dengan pelancaran semakin hampir, tidak mengejutkan spesifikasi penuh peranti skrin lipat Google Pixel 10 Fold tertiris menerusi laman WinFuture.

Pixel 10 Pro Fold hadir dengan skrin luar 6.4″ OLED dengan kadar segar semula 60–120Hz sementara di bahagian dalam pula ia dilengkapi skrin 8″ LTPO OLED. Skrin men punyai bucu bulat dan tidak menyokong sistem stylus. Ini dipadankan dengan cip Tensor G5, modul sekuriti Titan M2, memori sehingga 16GB LPDDR5x, storan sehingga 1TB UFS 4.0 dan bateri sebesar 5015mAh yang menyokong pengecasan 30W berwayar dan 15W PixelSnap secara nirwayar.
Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 48MP, ultra lebar 10.5MP dan telefoto 10.8MP dengan sistem zum optikal sehingga 10x. Kamera swafoto pula kedua-dua hadir dengan sensor 10MP sahaja. Tiada perubahan pada saiz sensor kamera jika dibandingkan dengan Pixel 9 Fold tahun lalu.
Yang menarik ialah peranti melepasi piawaian kalis air serta debu IP68 yang tidak dicapai peranti lipat lain di pasaran. Sistem operasi yang digunakan ialah Android 16 dengan pelancar Pixel yang terkini. Pengimbas cap jari terbina dalam butang kuasa di bahagian kanan tubuh. Peranti akan ditawarkan dalam dua pilihan warna Moonstone dan Jade.



