CelcomDigi Mengacah Ketibaan Google Pixel 10 Ke Pasaran Malaysia Pada 21 Ogos

LocalTechnology
13 Aug 2025 • 4:37 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Berita baik untuk mereka yang merupakan peminat siri peranti pintar Google Pixel. CelcomDigi baru-baru ini telah mengacah ketibaan peranti terbaru akan datang mereka, Google Pixel 10 ke pasaran tempatan.

Melalui promosi yang diperlihatkan pada aplikasi Celcom Life mereka, mereka mengatakan bahawa peranti tersebut akan tiba ke pasaran tempatan dalam masa seminggu lagi, pada 21 Ogos 2025.

image is not available

Apa yang diketahui mengenai Google Pixel 10 sekarang ialah ia tampil dengan paparan skrin Super Actua (LTPO OLED) bersaiz 6.3 inci dengan resolusi 1080×2424 pixel dan kadar segar semula 120Hz dengan nilai kecerahan 3000 nit.

Ia juga akan dikuasakan oleh cip pemprosesan Google Tensor G5 yang mempunyai lapan teras fizikal yang juga hadir dengan cip grafik Mali-G715 MC7 yang dihasilkan menggunakan proses N3E TSMC. Dari segi penawaran memori dan storan pula, peranti ini hadir dengan 12GB memori LPDDR5X dan pilihan storan 128GB dan 256GB.

Dari segi kamera pula, Google Pixel 10 dilengkapi dengan sistem kamera tiga-lensa, yang terdiri daripada sensor utama (lebar) 48MP f/1.7, sensor telefoto 10.8MP f/3.1 dan sensor ultra-lebar 12MP. Sensor lebar dan telefoto hadir dengan sistem penstabilan optikal dengan sokongan zum 5x sehingga 112mm sebelum bertukar kepada sistem penstabilan digital.

image is not available

Sebagai peranti pintar rasmi Google, ia juga akan menggerakkan sistem operasi mudah-alih terbaru mereka, Android 16 dan akan hadir dengan sokongan untuk tujuh kitaran kemaskini besar sistem operasi Android akan datang.

Dari segi bateri pula, Google Pixel 10 akan dilengkapi dengan bateri 4970mAH dan hadir dengan sokongan untuk pengecasan pantas PowerDelivery 3.0 sepantas 29W, pengecasan nirwayar 15W menggunakan Pixel Stand dan 12W dengan pengecas Qi.

image is not available

Buat masa ini, nampaknya hanya peranti Google Pixel 10 diperlihatkan. Ia tidak diketahui lagi sekiranya dua lagi peranti dalam siri ini, Google Pixel 10 Pro dan Google Pixel 10 Pro XL juga akan memasuki pasaran Malaysia.

Promosi kehadiran peranti Google Pixel 10 ini juga boleh diperlihatkan di bahagian header laman web CelcomDigi.

Kami telah bertanya kepada pihak CelcomDigi untuk penjelasan lebih lanjut, dan akan mengemaskini artikel ini sekiranya kami mendapat maklum-balas daripada mereka.