
ALOR SETAR – Kelmarin pastinya menjadi detik yang tidak akan dilupakan buat ribuan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 apabila segala usaha, pengorbanan dan air mata sepanjang tahun akhirnya terbayar dengan keputusan yang diumumkan.
Dalam ribuan kisah kejayaan itu, perhatian turut tertumpu kepada anak kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, yang berjaya mencatat keputusan cemerlang.
Menerusi video yang dikongsikan Pegawai Khas Media Menteri Besar, Helmi Khalid di TikTok, anak perempuan beliau yang merupakan pelajar di Maktab Mahmud Padang Terap dilaporkan memperoleh keputusan membanggakan iaitu 10A dan 1B+.
Lebih menyentuh hati, Sanusi sendiri dilihat hadir ke sekolah bagi mengiringi anaknya menerima keputusan tersebut, sekali gus mencerminkan sokongan penuh seorang ayah dalam detik penting kehidupan anak.
Di penghujung video sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali turut tampil mengucapkan tahniah atas pencapaian cemerlang berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut menzahirkan rasa bangga selain membanjiri ucapan tahniah kepada Sanusi dan anaknya atas kejayaan yang diraih.
Pencapaian SPM 2025 Terbaik Setakat Ini
Terdahulu, keputusan SPM 2025 mencatatkan peningkatan memberangsangkan apabila Gred Purata Kebangsaan (GPK) bertambah baik kepada 4.42 berbanding 4.49 pada tahun sebelumnya.
Sebanyak 366,435 calon atau 94.29 peratus layak menerima sijil SPM pada tahun ini, meningkat berbanding 355,933 calon pada 2024.
Selain itu, bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran turut menunjukkan peningkatan sebanyak 3.55 peratus.
Kejayaan ini sekali lagi membuktikan bahawa usaha berterusan para pelajar serta sokongan keluarga dan guru mampu membuahkan hasil yang membanggakan. – The Malaysian Update
The post Anak Raih 10A SPM 2025, Sanusi Iringi Detik Penuh Bermakna Di Sekolah appeared first on The Malaysian Update.



