
Spotify berkongsi perkembangan terbaharu syarikat melalui laporan rasmi yang diterbitkan semalam. Menurut syarikat itu, jumlah pelanggan Premium meningkat sebanyak 9% tahun-ke-tahun kepada 293 juta sekali gus menunjukkan peralihan positif daripada pengguna percuma kepada pelanggan berbayar. Sementara itu, pengguna aktif bulanan (MAUs) melonjak 12% kepada 761 juta yang menandakan tahap penglibatan pengguna yang semakin kukuh.

Spotify turut menekankan sorotan produk dan inovasi yang diperkenalkan sepanjang suku pertama 2026. Antara ciri tersebut ialah Taste Profile yang membolehkan pengguna membentuk dan mengawal profil muzik mereka sendiri namun buat masa ini hanya tersedia untuk pelanggan Premium di New Zealand. Selain itu, Prompted Playlist telah diperluas ke Amerika Syarikat dan Kanada serta kini merangkumi podcast.

Spotify juga memperkenalkan SongDNA, fungsi yang membolehkan pengguna memahami dengan lebih mendalam tentang penerbit serta asal-usul sesebuah lagu dan ia turut boleh diakses oleh pengguna di Malaysia. Di samping itu, About the Song hadir di pasaran terpilih dengan kad ringkas yang memberikan konteks serta kisah di sebalik muzik yang sedang didengar. Tidak ketinggalan, Spotify turut melancarkan Audiobook Charts di Amerika Syarikat dan United Kingdom yang menyediakan senarai mingguan buku audio popular mengikut genre.

Berdasarkan laporan tersebut, Spotify turut mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh. Jumlah hasil meningkat 14% tahun-ke-tahun (constant currency) kepada €4.5 bilion (~RM20.8 bilion), margin kasar bertambah sekitar 140 mata asas kepada 33% manakala pendapatan operasi mencapai €715 juta (~RM3.3 bilion). Angka ini memperlihatkan kedudukan kewangan syarikat yang terus berkembang dengan konsisten.
Pada masa sama, Spotify menekankan peranan mereka dalam menyokong pencipta dan rakan kongsi di seluruh ekosistem muzik. Sepanjang tahun 2025, Spotify merupakan peruncit dengan bayaran tertinggi kepada industri muzik secara global dengan jumlah lebih €11 bilion (~RM50.8 bilion). Keseluruhan bayaran sepanjang masa kini hampir mencecah €70 bilion (~RM323.4 bilion).





