Ancaman terhadap kanak-kanak memang boleh berlaku di mana-mana, lebih-lebih lagi melalui aktiviti atas talian seperti media sosial atau aplikasi hiburan, Oleh itu, pengenalan Spotify Managed Accounts dilihat sebagai langkah penting oleh Spotify untuk melindungi mereka. Ciri ini memberi kawalan khas kepada ibu bapa sekali gus membantu mengelakkan anak-anak daripada terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai.

Pada mulanya ia diperkenalkan sebagai sebahagian daripada pelan Premium Family namun kali ini Spotify mula meluaskannya kepada semua pengguna termasuk akaun percuma. Akaun ini dikhususkan untuk kanak-kanak berusia bawah 13 tahun sebagai langkah melindungi mereka daripada risiko menggunakan akaun ibu bapa yang boleh menjejaskan algoritma cadangan lagu. Dengan adanya akaun khusus ini, anak-anak tidak lagi perlu berkongsi profil ibu bapa yang sering menyebabkan senarai main bercampur-baur.

Ciri keselamatan yang disediakan dalam akaun ini memberi jaminan tambahan kepada ibu bapa terhadap penggunaan Spotify oleh anak-anak. Antara langkah yang diambil termasuk memastikan profil kanak-kanak tidak boleh dicari oleh orang lain, hanya menggunakan avatar dan bukannya gambar sebenar, serta tidak mempunyai fungsi mesej atau interaksi sosial. Selain itu, kandungan berunsur jelik turut disekat secara automatik dan akses dihadkan hanya kepada muzik sahaja tanpa melibatkan podsiar, buku audio atau video.

Dalam pada itu, ibu bapa yang mengurus akaun ini turut diberikan kawalan tambahan untuk menyesuaikan pengalaman anak-anak. Mereka boleh memilih artis yang dibenarkan serta menetapkan kandungan mengikut kesesuaian. Menariknya, anak-anak masih berpeluang mengakses Spotify Wrapped iaitu ringkasan pengalaman muzik peribadi mereka sepanjang tahun. Namun, akses ini tidak akan mengganggu tetapan atau data yang telah ditentukan oleh ibu bapa pada akaun utama.
Ciri ini mula ditawarkan terlebih dahulu di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Perancis, Jerman dan Belanda. Ia kemudiannya akan diperluaskan ke pasaran lain pada masa akan datang.




