
PETALING JAYA: Seramai 29 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) disahkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, sekali gus dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, senario itu menyaksikan hanya 53 daripada keseluruhan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada pilihan raya kali ini.
Katanya, pengundi di 29 DUN tidak dipertandingkan tidak perlu keluar mengundi pada hari pengundian.
“Selepas tempoh penyerahan kertas penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi, seramai 168 calon mewakili pelbagai parti dan calon Bebas disahkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Negeri Sarawak Yang Ke-13.
“SPR telah menerima dan mengesahkan sebanyak 168 kertas penamaan yang layak bertanding bagi DUN Sarawak,” katanya hari ini.
Ramlan berkata, tempoh berkempen bagi 53 kerusi yang dipertandingkan bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan hari ini sehingga pukul 11.59 malam, 11 Disember 2026.
Katanya, SPR turut menubuhkan 104 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau semua aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen.
“Bahan kempen yang mengandungi perkataan-perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan yang boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan dan ia satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).
“SPR juga berharap agar aktiviti berkempen yang dibenarkan akan berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Ramlan berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka bilik gerakan yang beroperasi 24 jam sehari bermula hari ini hingga 12 Disember bagi menerima aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang tempoh berkempen.
PRN Sarawak kali ini menyaksikan GPS mengemukakan calon di kesemua 82 kerusi diikuti Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dengan 29 calon, Parti Bumi Kenyalang (PBK) (17) dan DAP (14).
Parti Bangsa Malaysia (PBM) pula mengemukakan tiga calon, Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) (1) manakala 22 lagi merupakan calon Bebas.
Tiada pencalonan ditolak SPR dalam proses penamaan yang berlangsung di 82 pusat penamaan di seluruh Sarawak.
Sebanyak 29 kerusi menyaksikan pertandingan satu lawan satu diikuti tiga penjuru di 15 kerusi dan empat penjuru di sembilan kerusi.
Daripada keseluruhan 168 calon yang disahkan, seramai 154 merupakan calon lelaki manakala 14 lagi calon wanita dengan majoriti membabitkan 88 calon berusia 60 tahun ke atas.
Calon PBDS bagi DUN Krian, John Antau Anak Linggang, 78, merupakan calon tertua manakala calon DAP DUN Pelawan, Irene Wong Lee Ting, 24, ialah calon termuda.
Kerusi yang dimenangi GPS tanpa bertanding ialah Tanjong Datu, Pantai Damai, Demak Laut, Tupong, Samariang, Satok, Asajaya, Muara Tuang, Sadong Jaya, Simunjan, Gedong dan Sebuyau.
Turut dimenangi tanpa bertanding ialah Lingga, Beting Maro, Engkilili, Saribas, Layar, Bukit Saban, Kuala Rajang, Semop, Daro, Repok, Dalat, Tellian, Katibas, Bukit Goram, Bekenu, Lambir dan Bukit Sari. – UTUSAN
The post SPR sahkan GPS menang tanpa bertanding di 29 kerusi appeared first on Utusan Malaysia.






