PUTRAJAYA - [KEMAS KIN] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan dibuat secara berasingan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari pengundian bagi PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai.
Manakala, tarikh pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pula ditetapkan pada 1 Ogos.
“Tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRN Johor masing-masing ditetapkan pada 27 Jun dan 7 Julai.
“Bagi penamaan calon dan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pula masing-masing ditetapkan pada 18 Julai dan 28 Julai,” katanya ketika sidang akhbar di Menara SPR di sini pada Jumaat.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Selang beberapa hari, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pula mengumumkan pembubaran DUN Negeri Sembilan berkuat kuasa pada Jumaat, 5 Jun.
Mengulas lanjut, Ramlan berkata, bagi menjalankan proses PRN di Johor SPR melantik 56 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 187 Penolong Pegawai Pengurus.
Sementara itu, bagi Negeri Sembilan pula, beliau berkata, seramai lapan Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 95 Penolong Pegawai Pengurus dilantik.
“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 27 Jun 2026 (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 10 Julai 2026 (Jumaat) bagi PRU Dewan Negeri Johor Ke-16.
“Bagi urusan PRU Dewan Negeri, Negeri Sembilan Ke-16 ditetapkan mulai pengisytiharan calon calon yang bertanding pada 18 Julai 2026 (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 31 Julai 2026 (Jumaat),” katanya
Jelas Ramlan lagi, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRN Johor yang dikemas kini sehingga 31 Mei lalu mengandungi seramai 2,727,926 orang pemilih.
Jumlah itu katanya, terdiri daripada 2,703,175 orang pengundi biasa, 12,041 orang tentera serta pasangan, dan 12,710 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Sementara itu, bagi PRN Negeri Sembilan pula berdasarkan data 4 Jun, mengandungi seramai 889,490 orang pemilih yang terdiri daripada 867,151 orang pengundi biasa, 16,884 orang tentera serta pasangan, dan 5,455 orang polis,” katanya.
Beliau menambah, PRN di Johor dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM86.8 juta, manakala di Negeri Sembilan pula dianggarkansebanyak RM80.6 juta.
“Untuk memudahkan proses penamaan calon, SPR menyeru kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri seluruh negara sebelum hari penamaan calon.
“Selain itu, bakal-bakal calon juga adalah digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal. Ini bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” katanya.





