
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memperhebat usaha membawa pulang lapan lagi karya seni bernilai lebih RM120 juta yang dikaitkan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang menyasarkan pemulangan menjelang hujung tahun ini, mendedahkan sebanyak 12 karya seni telah dikenal pasti untuk dibawa pulang, dan setakat ini empat daripadanya sudah berjaya diperoleh semula.
Antara yang masih dalam proses pemulangan termasuk karya Henri Matisse bernilai US$52,500; Alexander Calder (US$125,000); Pablo Picasso (US$1.265 juta); William H. Bailey (US$66,250) serta Raoul Dufy (US$40,000). Nilai karya Salvador Dalí dan Gustave Loiseau pula masih menunggu pengesahan.
“Secara keseluruhan, nilai lukisan yang masih dalam proses pemulihan dianggarkan US$1.7 juta, bersamaan kira-kira RM6.9 juta. SPRM juga sedang giat berusaha membawa pulang hasil jualan karya Claude Monet bertajuk Vétheuil au Soleil yang dijual di Switzerland dengan nilai EUR25.2 juta, atau kira-kira RM114 juta,” katanya pada sidang media khas hari ini.
Azam menjelaskan dana berkenaan kini tertakluk kepada prosiding penyitaan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat, dengan usaha pemulihan dipergiat melalui saluran perundangan serta kerjasama rapat bersama pihak berkuasa di AS dan Switzerland.
Beliau menegaskan kejayaan mendapatkan semula karya seni ini adalah sebahagian daripada pencapaian besar Malaysia dalam usaha memulihkan aset 1MDB.
Sebelum ini, SPRM berjaya membawa pulang empat karya seni antarabangsa yang dibeli menggunakan dana 1MDB melalui rumah lelong Sotheby’s di New York pada 14 April lalu. Antara karya tersebut termasuk Composition (1953) oleh Joan Miró bernilai US$93,750, Maison de rendez-vous, rue Saint-Rustique, Montmartre (1934) oleh Maurice Utrillo bernilai US$50,000, Étude pour femme couchée (1948) oleh Balthus bernilai US$28,125, serta L’Ecuyère et les clowns (1961) oleh Pablo Picasso bernilai US$26,250.
Kesemua lukisan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 10 April selepas melalui proses pengangkutan ketat dari New York, dengan kawalan keselamatan melibatkan Kastam Diraja Malaysia, Balai Seni Negara dan petugas logistik.
Ditanya sama ada karya seni berkenaan akan dijual, Azam berkata keputusan itu akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan (MOF). - 6 Mei, 2026
The post SPRM buru lapan lagi karya seni bernilai lebih RM120 juta hasil penyelewengan 1MDB: Azam appeared first on Scoop.






