
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memutuskan untuk menggantung pemakaian baju oren bagi Orang Kena Siasat (OKS) yang dibawa ke mahkamah untuk tujuan permohonan reman berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, langkah itu diambil susulan perkembangan terkini dan saranan semasa berkaitan tatacara pengendalian OKS, khususnya ketika proses membawa mereka ke mahkamah.
“OKS dibenarkan memakai pakaian biasa ketika dibawa ke mahkamah, manakala pemakaian baju lokap hanya terpakai sepanjang tempoh OKS berada dalam tahanan di lokap.
“Bagi pemakaian gari pula adalah bergantung kepada keadaan tertentu dan dikecualikan kepada OKS yang uzur, Orang Kurang Upaya (OKU), kanak-kanak dan warga emas,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Bagaimanapun katanya, SPRM akan terus mengambil langkah berjaga-jaga serta memastikan kawalan keselamatan dilaksanakan dengan sewajarnya dalam setiap proses pengendalian OKS.
“SPRM kekal komited bagi memastikan setiap tindakan yang diambil dalam pengendalian OKS dilaksanakan secara profesional, berintegriti, berhemah dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta prosedur ditetapkan,” katanya.
Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat individu yang memberikan kerjasama sepenuhnya dalam sesuatu siasatan tidak perlu dipakaikan baju tahanan berwarna jingga ketika dibawa ke mahkamah sebelum mereka dituduh secara rasmi.
Beliau berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan bagi mengelak persepsi negatif masyarakat terhadap individu terbabit memandangkan proses siasatan masih berjalan dan mereka belum berdepan sebarang pertuduhan. – KOSMO! ONLINE
The post SPRM gantung pemakaian baju jingga OKS ke mahkamah appeared first on Kosmo Digital.






