SPRM gantung pemakaian baju oren OKS dibawa ke mahkamah berkuat kuasa serta-merta

LocalPolitics
4 Sep 2026 • 6:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: SPRM gantung pemakaian baju oren OKS dibawa ke mahkamah berkuat kuasa serta-merta
Abd Halim

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggantung pemakaian baju oren bagi Orang Kena Siasat (OKS) yang dibawa ke mahkamah bagi tujuan permohonan reman, berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, keputusan itu dibuat susulan perkembangan terkini dan saranan semasa berkaitan tatacara pengendalian OKS, khususnya ketika proses membawa mereka ke mahkamah.

"OKS kini dibenarkan memakai pakaian biasa ketika dibawa ke mahkamah, manakala pemakaian baju lokap hanya terpakai sepanjang tempoh mereka berada dalam tahanan di lokap.

"Bagi pemakaian gari pula adalah bergantung kepada keadaan tertentu dan dikecualikan kepada OKS yang uzur, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak dan warga emas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun, beliau berkata, SPRM akan terus mengambil langkah berjaga-jaga serta memastikan kawalan keselamatan dilaksanakan sewajarnya dalam setiap proses pengendalian OKS.

"SPRM kekal komited bagi memastikan setiap tindakan yang diambil dalam pengendalian OKS dilaksanakan secara profesional, berintegriti, berhemah dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan prosedur yang ditetapkan," katanya.

Terdahulu media melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan individu yang ditahan SPRM tidak lagi perlu memakai 'baju oren' ketika dibawa ke mahkamah untuk prosiding reman.

Anwar dilaporkan berkata, individu yang hanya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa wajar disiasat terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan lain diputuskan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved