SPRM henti pakai baju oren OKS ke mahkamah serta-merta

LocalPolitics
5 Sep 2026 • 3:24 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

SPRM henti pakai baju oren OKS ke mahkamah serta-merta

KUALA LUMPUR – Individu yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi perlu memakai baju lokap berwarna oren ketika dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman susulan perubahan tatacara pengendalian Orang Kena Siasat (OKS) yang berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, keputusan menggantung pemakaian baju berkenaan dibuat mengambil kira perkembangan terkini serta saranan berkaitan tatacara pengendalian OKS, khususnya ketika mereka dibawa ke mahkamah.

Menurut beliau, menerusi ketetapan baharu itu, OKS dibenarkan hadir ke mahkamah dengan memakai pakaian biasa, sementara pakaian lokap hanya digunakan sepanjang tempoh individu terbabit berada dalam tahanan SPRM.

“Bagi pemakaian gari pula adalah bergantung kepada keadaan tertentu dan dikecualikan kepada OKS yang uzur, Orang Kurang Upaya (OKU), kanak-kanak dan warga emas,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Abd Halim menegaskan perubahan tersebut tidak bermakna aspek keselamatan akan dikompromi, sebaliknya SPRM akan terus mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan kawalan sewajarnya dilaksanakan sepanjang proses pengendalian OKS.

“SPRM kekal komited bagi memastikan setiap tindakan yang diambil dalam pengendalian OKS dilaksanakan secara profesional, berintegriti, berhemah dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Perubahan tatacara itu turut menyusul selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan pandangan supaya amalan memakaikan baju lokap oren kepada suspek ketika dibawa ke mahkamah dihentikan.

Anwar berkata, pemakaian pakaian lokap terhadap individu yang masih berada pada peringkat siasatan boleh menimbulkan persepsi berbeza terhadap mereka, terutama apabila suspek terbabit masih belum diputuskan bersalah dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

Keputusan SPRM itu sekali gus menyaksikan pakaian lokap oren kini dihadkan penggunaannya ketika OKS berada dalam tahanan, manakala penampilan mereka ketika proses permohonan reman di mahkamah menggunakan pakaian biasa.

The post SPRM henti pakai baju oren OKS ke mahkamah serta-merta appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved