
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar ‘memantau’ Kongres Pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan datang bagi memastikan proses ‘mengundi’ badan induk itu berlangsung secara telus dan bebas daripada sebarang unsur pengaruh.
Pemerhati bola sepak tempatan, Ahmad Muzakkir Hamid berpandangan kehadiran SPRM sebagai pemerhati bukan bermaksud menuduh mana-mana calon melakukan salah laku, sebaliknya langkah pencegahan bagi meningkatkan keyakinan semua pihak terhadap proses pemilihan.
Menurut Muzakkir, perhatian perlu diberikan terhadap sebarang kemungkinan berlaku ‘pancing undi’, janji atau bentuk pengaruh tertentu terhadap badan gabungan yang mempunyai hak mengundi.
“Kita tidak mahu wujud sebarang persepsi mengenai ‘pancing undi’, janji-janji atau bentuk pengaruh tertentu terhadap badan gabungan yang mempunyai hak mengundi.
“Dalam pemilihan yang melibatkan masa depan bola sepak negara, integriti dan proses sama penting dengan siapa yang akhirnya dipilih nanti,” katanya.
Ahmad Muzakkir berkata, kehadiran SPRM juga boleh menjadi mekanisme semak dan imbang supaya setiap calon bersaing berdasarkan visi, kemampuan serta rekod yang dimiliki.
“Kehadiran SPRM sebagai pemerhati boleh menjadi satu bentuk semak dan imbang bagi memastikan setiap calon bertanding atas kekuatan visi, kemampuan serta rekod masing-masing.
“Bola sepak Malaysia memerlukan reformasi. Reformasi itu mesti bermula dengan proses pemilihan yang bersih, telus dan berintegriti,” ujarnya.
The post SPRM perlu pantau Kongres Pemilihan FAM appeared first on Kosmo Digital.






