
PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan berhubung kes melibatkan bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr. Xavier Jayakumar yang dibuka sejak 2021 telah selesai.
SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, dua kertas siasatan dibuka pada tahun berkenaan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas penelitian dan siasatan menyeluruh terhadap fakta, dokumen serta keterangan berkaitan kes berkenaan.
“Setelah siasatan dan penelitian terhadap fakta, dokumen serta keterangan berkaitan dilaksanakan, Timbalan Pendakwa Raya telah membuat keputusan Kemas Untuk Simpan (KUS) kes tersebut pada 2024 kerana tiada keterangan mencukupi untuk menuduh Datuk Dr. Xavier,” katanya.
SPRM berkata, tempoh sesuatu siasatan bergantung kepada kompleksiti kes selain keperluan mendapatkan, meneliti serta mengesahkan maklumat dan keterangan berkaitan.
Katanya, setiap siasatan dijalankan secara profesional, telus dan berdasarkan fakta serta keterangan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
“Sehubungan itu, SPRM meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian berhubung perkara berkenaan memandangkan siasatan telah selesai,” katanya.
Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Kua Kia Soong mempersoalkan status siasatan rasuah terhadap Xavier yang dilihat berlarutan tanpa keputusan diumumkan kepada umum. – KOSMO! ONLINE
The post SPRM selesai siasat Xavier, tiada keterangan mencukupi untuk tuduh appeared first on Kosmo Digital.





