SPRM Siasat Dakwaan Aset Hartanah Mewah USD13 Juta Berkait Dana 1MDB

LocalPolitics
9 Jul 2026 • 3:31 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

SPRM Siasat Dakwaan Aset Hartanah Mewah USD13 Juta Berkait Dana 1MDB

SPRM Siasat Dakwaan Aset Hartanah Mewah USD13 Juta Berkait Dana 1MDB

PUTRAJAYA, 9 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan berhubung dakwaan pemilikan dan pemindahan aset hartanah mewah di luar negara dianggarkan bernilai USD13 juta (kira-kira RM59 juta), yang dipercayai berkaitan hasil aktiviti haram dana 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata siasatan menerusi Ops Agam itu bermula pada 15 Jun lepas, bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Beliau berkata fokus siasatan merangkumi aspek mengesan kewujudan unsur rasuah, salah guna kuasa, pengubahan wang haram serta tindakan pemulihan aset berkenaan.

“SPRM kini sedang bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa di dalam dan luar negara, bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai pemilikan serta pergerakan aset yang disiasat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abd Halim berkata antara agensi itu ialah Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat (AS), bagi memperoleh maklumat komprehensif berhubung hartanah mewah tersebut.

Mengenai status pemilikan hartanah mewah berkenaan, Abd Halim memaklumkan siasatan masih pada peringkat awal dan beberapa perkara perlu dikenal pasti terlebih dahulu.

Dalam pada itu, beliau berkata SPRM bersikap terbuka dan tidak menetapkan sebarang batasan dalam memanggil mana-mana individu, sekiranya mempunyai kaitan atau relevan dengan kes berkenaan.

“Sesiapa sahaja akan dan bakal dipanggil seandainya individu itu mempunyai kaitan dan relevan di dalam proses penyiasatan pihak kami,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada SPRM akan memanggil isteri kepada seorang bekas Perdana Menteri.

Ditanya mengenai pertukaran maklumat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilaporkan turut menyiasat perkara itu, Abd Halim berkata kedua-dua agensi berkenaan ketika ini bergerak secara bebas mengikut bidang kuasa masing-masing.

Sebelum ini, PDRM menerima tiga laporan dan membuka siasatan terhadap dakwaan pembelian atau pembiayaan hartanah di New Jersey, AS itu .

Sementara itu, Abd Halim menegaskan siasatan terhadap ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low tidak pernah ditutup dan masih lagi diteruskan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved