SPRM tahan penjawat awam syor keluarga terima rumah SMJ

LocalPolitics
23 Feb 2026 • 8:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Suspek lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira jam 9.50 pagi Isnin, ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan.

KOTA KINABALU – [DIKEMAS KINI] Seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki menyalahgunakan kuasa dengan mengesyorkan ahli keluarganya yang tidak layak sebagai penerima Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 9.50 pagi Isnin ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan.

Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022 dan rumah yang dibina atas nama dua penama, iaitu bapa mentua dan adik iparnya, telah siap pada tahun 2023.

Namun, sehingga tahun 2025 didapati rumah tersebut masih belum didiami dan perkara itu menimbulkan keraguan terhadap kelayakan sebenar penerima serta berpotensi menjejaskan objektif program bantuan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek berkenaan.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dituduh dalam masa terdekat," katanya.