
PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan satu pasukan khas bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
SPRM berkata, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar telah dilantik bagi mengetuai pasukan khas berkenaan untuk meneliti sebarang isu perundangan melibatkan unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa atau pengubahan wang haram
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram atau mana-mana kesalahan yang berkaitan.
“SPRM komited untuk memastikan setiap isu yang dibangkitkan melalui laporan tersebut diteliti dengan sewajarnya dan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang
“Tindakan tegas akan diambil tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata kenyataan itu, SPRM sentiasa menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, akauntabiliti dan integriti didalam melaksanakan tanggungjawab selaras dengan usaha berterusan memperkukuh tadbir urus negara tanpa campur tangan dari mana-mana pihak.
“Justeru, kerjasama daripada orang ramai diharapkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai apa jua isu sehingga siasatan dapat dilengkapkan sepenuhnya,” jelasnya. – UTUSAN
The post SPRM tubuh pasukan khas teliti laporan RCI Tabung Haji appeared first on Utusan Malaysia.






