
KUALA LUMPUR: Selangor Red Giants (SRG) terus mengukuhkan status sebagai kuasa utama e-sukan negara apabila merangkul kejuaraan keenam berturut-turut Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia selepas menundukkan Team Rey dalam aksi Grand Final Musim Ke-18, hari ini.
Dalam perlawanan penuh dramatik di Stadium Juara, Bukit Kiara, SRG terpaksa bekerja keras sebelum mengesahkan kemenangan 4-3 ke atas Team Rey, sekali gus meneruskan dominasi yang bermula sejak Musim Ke-13.
Kejayaan itu bukan sahaja mengukuhkan reputasi SRG sebagai pasukan paling dominan dalam saingan MPL Malaysia, malah membuktikan kemampuan mereka mengekalkan prestasi tinggi meskipun berdepan tentangan sengit daripada pencabar yang berusaha merampas takhta.
Di bawah bimbingan ketua jurulatih, Michael Angelo Bocado atau lebih dikenali sebagai Arcadia, SRG sekali lagi mempamerkan ketahanan mental dan konsistensi permainan untuk melepasi halangan terakhir dalam perebutan gelaran musim ini.
Kejayaan pasukan itu turut diserikan dengan pengiktirafan buat Kramm yang dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Grand Final MPL Malaysia Musim Ke-18 hasil persembahan cemerlangnya dalam aksi penentuan tersebut.
Selepas mengesahkan kejuaraan di pentas domestik, SRG kini mengalihkan tumpuan kepada cabaran lebih besar apabila bakal membawa cabaran Malaysia ke Kejohanan Dunia M8 bersama Team Rey.
Kejohanan berprestij itu dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 23 Januari 2027 di Istanbul, Turkiye, dengan kedua-dua wakil negara berpeluang menguji kemampuan menentang pasukan terbaik dunia.-UTUSAN
The post SRG pahat sejarah, enam kali berturut-turut juara MPL Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.






