
PETALING JAYA: Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman (Kepolisan Am Krisis Bencana) Datuk M.V. Sri Kumar menamatkan perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini selepas 39 tahun berkhidmat dalam pasukan itu.
Sepanjang hampir empat dekad dalam pasukan, Sri Kumar mempunyai pengalaman dalam pelbagai bidang termasuk pengurusan krisis dan bencana, operasi serta rundingan selain pernah berkhidmat dalam Unit Tindakan Khas (UTK).
Sri Kumar yang berkhidmat hampir 39 tahun dalam KDNKA turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan serta warga jabatan yang banyak membantunya sepanjang tempoh perkhidmatan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada isteri, Datin Kalyani Balakrishnan Nair serta dua anak lelaki atas sokongan yang diberikan sepanjang beliau menjalankan tugas dalam pasukan.
“Tanpa sokongan mereka (keluarga), ini semua tiada makna apa-apa untuk saya,” katanya majlis serah tugas di Ibu Pejabat Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), semalam.
Dalam majlis itu, Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am Jabatan KDNKA, Deputi Komisioner Hakemal Hawari bakal jawatan Sri Kumar.
Turut hadir, Timbalan Pengarah KDNKA (Gerakan/ Operasi), Datuk Muhammad Abdul Halim dan Timbalan Pengarah KDNKA (PGA/ WCB/PSK), Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.
Sementara itu, Muhammad berkata, pengalaman luas Sri Kumar dalam pengurusan operasi, krisis dan rundingan memberi manfaat kepada warga KDNKA khususnya dalam meningkatkan keupayaan pegawai muda.
Katanya, antara sumbangan penting Sri Kumar sebelum bersara ialah pembangunan Buku Panduan Perunding Juruiring yang boleh dijadikan bahan rujukan dan latihan kepada pegawai serta anggota PDRM.
“Panduan ini dibangunkan berdasarkan pengalaman praktikal dan senario operasi serta akan menjadi rujukan dalam latihan dan pengendalian situasi yang memerlukan kemahiran rundingan,” katanya.
Muhammad turut merakamkan penghargaan kepada keluarga Sri Kumar atas sokongan dan pengorbanan sepanjang beliau menjalankan tugas dalam PDRM.
Beliau kemudian memulakan kerjaya bersama Pasukan Polis Hutan pada tahun 1988 namun mempunyai pengalaman selama 26 tahun berkhidmat dalam UTK dengan kepakaran dalam perlindungan rapat, operasi taktikal dan bahan letupan.
Sepanjang tempoh itu, Sri Kumar diamanahkan untuk mengetuai kawalan keselamatan pemimpin ternama dunia yang melawat Malaysia termasuk bekas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, bekas Naib Presiden Al Gore, bekas Perdana Menteri Britain John Major, Perdana Menteri India Narendra Modi, dan bekas Perdana Menteri Filipina Fidel Ramos. – UTUSAN
The post Sri Kumar bersara selepas 39 tahun bersama PDRM appeared first on Utusan Malaysia.






