
KUALA LUMPUR: Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hari ini menyerahkan memorandum berhubung konflik Palestin-Israel kepada pihak Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini, antara lain menuntut gencatan senjata serta-merta di kawasan berkenaan.
Wakil SSP Maria Chin Abdullah (gambar) berkata gencatan senjata segera adalah prasyarat yang perlu dilaksanakan mengikut peraturan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam memastikan nyawa orang awam dilindungi dan mencegah tragedi pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Palestin di Gaza.
“Kedutaan AS di sini memaklumkan mereka akan menghantar memorandum yang diserahkan hari ini kepada Setiausaha Negara AS (Antony J. Blinken) serta menasihati Malaysia untuk memainkan peranan yang lebih dalam isu berkaitan Palestin,” katanya kepada Bernama selepas menyerahkan memorandum itu.
Turut hadir sama menyerahkan memorandum itu ialah aktivis sosial Tian Chua dan Penyelaras MAPIM Wilayah Persekutuan Fadhil Osman.
Selain gencatan senjata, SSP dan MAPIM turut menuntut Israel patuh kepada undang-undang antarabangsa dengan menghormati ICJ sebagai badan kehakiman tertinggi bagi perintah global di mana setiap negara mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan kesucian undang-undang antarabangsa.
Dua lagi tuntutan ialah untuk AS menamatkan semua pembiayaan dan sokongan ketenteraan untuk Israel bagi mencegah keganasan yang memburukkan rakyat Palestin dan terakhir, pemulihan bantuan asas kemanusiaan untuk mengelak tragedi kemanusiaan yang teruk di Gaza setelah diancam krisis kekurangan makanan, air bersih, rawatan perubatan dan keperluan lain yang penting untuk kehidupan.
Angka kematian di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sejak 7 Okt tahun lepas telah meningkat kepada 19,088 dengan lebih 54,450 orang cedera dalam konflik berkenaan. -Bernama




