
JOHOR BAHRU: Pasar raya borong dan runcit halal 24 jam terkemuka di Malaysia, ST Rosyam Mart menyasarkan untuk membuka sehingga 10 cawangannya di negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengarah ST Rosyam Mart, Datuk Rosyam Nor berkata, cawangan pertama di Johor dibuka secara rasmi hari ini di Paragon Market Place, Tampoi, di sini.
Menurut beliau, pihaknya yakin pasar raya seluas 70,000 kaki persegi itu mampu menarik kehadiran seramai lebih 10,000 pengunjung setiap hari.
“Bermula hari ini pasar raya ini akan beroperasi selama 24 jam tanpa henti bagi kemudahan rakyat Johor. Sambutan diterima daripada masyarakat Johor dan Singapura sangat baik, Alhamdulillah.
“Selain pasar raya ini, kami sasarkan untuk buka sembilan lagi cawangan di seluruh Johor. Mungkin satu cawangan bagi setiap satu daerah di negeri ini,” katanya kepada pemberita pada majlis pembukaan rasmi premis berkenaan, di sini hari ini.
Hadir menyempurnakan majlis, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, P. Pannir Selvam.
Turut hadir, Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan Sri Ternak Group, Datuk Raymond Ho.
Tambah Rosyam, sempena pembukaan pasar raya itu, pihaknya menyediakan pelbagai barangan keperluan pada harga serendah 8 sen.
“Ini termasuk 5,000 ekor ayam, bebola ikan, pelbagai jenis sayur-sayuran dan mi kuning. Selain pasar raya, beberapa premis lain turut beroperasi 24 jam termasuklah restoran dan kedai roti,” katanya.
Sementara itu, Raymond berkata, kehadiran pasar raya berkenaan ke negeri ini bukan hanya bertujuan untuk menyediakan kawasan masyarakat membeli barangan keperluan harian tetapi turut membangun ekonomi setempat.
“Pada ketika ini, lebih daripada 40 peratus pembekal kami adalah dari negeri ini manakala selebihnya terdiri daripada pembekal kami yang sedia ada.
“Kami mahu bangunkan satu ekosistem perniagaan yang menyokong pengusaha tempatan. Pada masa sama kami turut menyediakan lebih daripada 400 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya. – UTUSAN
The post ST Rosyam Mart sasar buka 10 cawangan di Johor appeared first on Utusan Malaysia.




