Farm Price fokus produk bernilai tambah ke Singapura selepas berpindah ke Pasaran Utama

LocalBusiness & Finance
9 Sep 2026 • 4:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Farm Price fokus produk bernilai tambah ke Singapura selepas berpindah ke Pasaran Utama Image from: Farm Price fokus produk bernilai tambah ke Singapura selepas berpindah ke Pasaran Utama liza09/09/2026 - 16:00 Syarikat pemborong dan pengedar sayur-sayuran segar, produk makanan dan minuman (F&B) serta barangan runcit lain yang berpangkalan di Johor itu membuat penampilan sulung di Pasaran Utama pada 9 September 2026, selepas lebih dua tahun disenaraikan di Pasaran ACE sejak Mei 2024 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Sept – Farm Price Holdings Berhad akan memberi tumpuan kepada peluasan operasi di Malaysia dan Singapura, produk sayur-sayuran siap bungkus serta makanan sedia dimasak (RTC) selepas berjaya memindahkan penyenaraiannya daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Syarikat pemborong dan pengedar sayur-sayuran segar, produk makanan dan minuman (F&B) serta barangan runcit lain yang berpangkalan di Johor itu membuat penampilan sulung di Pasaran Utama pada 9 September 2026, selepas lebih dua tahun disenaraikan di Pasaran ACE sejak Mei 2024.

 

Saham Farm Price didagangkan di bawah nama FPHB dengan kod saham 0304 dalam sektor Produk dan Perkhidmatan Pengguna susulan kejayaan pemindahan keseluruhan modal saham terbitan dan warannya ke Pasaran Utama.

 

Pengarah Urusan Farm Price, Dr Lawrence Tiong Lee Chian berkata, perpindahan tersebut mencerminkan pertumbuhan perniagaan, perkembangan operasi serta rekod kewangan kumpulan yang kukuh secara berterusan sejak penyenaraian awalnya di Pasaran ACE.

 

Menurut beliau, penyenaraian di Pasaran Utama turut meningkatkan kredibiliti dan keterlihatan Farm Price dalam kalangan pelanggan, rakan niaga serta komuniti pelabur, selain membuka peluang untuk syarikat mendekati kumpulan pelabur yang lebih luas termasuk pelabur institusi dan pelabur strategik jangka panjang.

 

Perluas jejak Malaysia dan Singapura

Selepas perpindahan ke Pasaran Utama, Farm Price akan memberi tumpuan kepada permulaan operasi pusat pengedaran berpusat yang diperluaskan di Senai, Johor sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keupayaan infrastrukturnya.

 

Selain itu, beliau berkata Kumpulan akan terus memperkukuh penggunaan teknologi serta keupayaan operasi bagi menyokong pertumbuhan perniagaan pada masa hadapan.

 

“Farm Price juga akan meningkatkan rangkaian produk sayur-sayuran siap bungkus dan makanan sedia dimasak (RTC), dengan tumpuan khusus diberikan kepada pasaran Singapura.

 

“Produk berkenaan membolehkan Farm Price memenuhi keperluan operasi harian pelanggan dengan mengurangkan keperluan penyediaan, meningkatkan keseragaman produk serta membantu meningkatkan kecekapan dapur.

 

“Dari perspektif perniagaan, penawaran produk bernilai tambah itu turut memberi peluang kepada Farm Price untuk mengukuhkan hubungan dengan pelanggan, menjana permintaan berulang serta membezakan produk kami dalam pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Percepatkan pendigitalan dan penggunaan AI

Dalam masa sama, Farm Price mempercepatkan inisiatif pendigitalannya melalui pelaksanaan aplikasi mudah alih yang membolehkan pelanggan membuat pesanan secara dalam talian.

 

Kumpulan itu turut melaksanakan sistem pengimbasan inventori berasaskan kod bar serta menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam beberapa fungsi perniagaan dan operasi terpilih.

 

Penggunaan AI dijangka membantu meningkatkan keupayaan operasi Farm Price dengan memperkemas proses kerja serta menyokong pembuatan keputusan berasaskan data bagi fungsi tertentu.

 

Secara keseluruhannya, inisiatif pendigitalan itu bertujuan meningkatkan keterlihatan stok, ketepatan inventori dan melancarkan proses pemenuhan pesanan di seluruh rangkaian pengedaran kumpulan.

 

Farm Price menjangkakan pengurangan proses manual, peningkatan kecekapan operasi dan penggunaan keupayaan berasaskan AI akan membantu kumpulan meningkatkan skala operasi serta mengoptimumkan penggunaan sumber apabila perniagaannya terus berkembang.

 

Kukuhkan rantaian bekalan dan nilai pemegang saham

Pada Jun 2026, Farm Price turut menerima pengiktirafan daripada ASEAN Records dan ASIA Records sebagai syarikat pengimport dan pengeksport sayur-sayuran segar tersenarai awam pertama yang mengintegrasikan kemudahan penyimpanan rantaian sejuk kendalian sendiri dengan keupayaan pemprosesan bernilai tambah yang diperakui halal.

 

Pengiktirafan itu mencerminkan usaha kumpulan membangunkan model pembekal rantaian bekalan hasil segar untuk perniagaan kepada perniagaan (B2B) yang bersepadu, merangkumi keupayaan mendapatkan bekalan, infrastruktur rantaian sejuk kendalian sendiri serta penyelesaian pemprosesan bernilai tambah yang diperakui halal.

 

Farm Price berkata pendekatan itu dibangunkan bagi menyokong peningkatan permintaan terhadap produk hasil segar di Malaysia dan Singapura, sekali gus mengukuhkan peranannya dalam rantaian bekalan makanan di kedua-dua pasaran.

 

Dari sudut pemegang saham, lembaga pengarah Farm Price sedang menilai agihan dividen yang bersesuaian dengan mengambil kira prestasi kewangan kumpulan, kedudukan aliran tunai, keperluan modal serta prospek pertumbuhan masa depan.

 

Farm Price berkata Pasaran Utama menyediakan platform yang lebih kukuh untuk kumpulan meneruskan fasa pertumbuhan seterusnya, di samping memperluas tanggungjawabnya dalam rantaian bekalan hasil segar Malaysia serta menyokong usaha keselamatan makanan negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved