Star gesa kerjasama, bukan masa untuk tuding jari

LocalPolitics
3 Oct 2025 • 3:00 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Airku (Star) menggesa semua pihak untuk bekerjasama secara membina dan bukan saling menyalahkan dalam usaha mempertahankan hak perlembagaan Sabah dalam Malaysia.

Ketua Bahagian Star Karambunai Datuk Kapitan Stephen Teo berkata Presiden Star Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan secara konsisten memperjuangkan pemulihan hak-hak Sabah di bawah MA63, malah pernah menjadi sasaran pihak berkuasa Persekutuan.

“Ini bukan soal politik kepartian tetapi isu asas yang menyentuh kepentingan rakyat Sabah secara keseluruhan,” kata Stephen yang juga Penyelaras Star Parlimen Labuan.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Ketua AMK Penampang Eldridge Laurence Timis, yang melalui sebuah portal berita tempatan, menyeru Dr Jeffrey agar tidak menyalahkan Putrajaya berhubung masalah yang dihadapi Sabah ketika menyentuh isu “Sabah untuk Rakyat Sabah”.

“Adalah penting untuk diingat bahawa cabaran Sabah tidak dapat diselesaikan hanya dengan tuding-menuding jari.

“Apa yang diperlukan ialah kepimpinan yang berani dan jujur, yang sanggup memperjuangkan hak Sabah tanpa kompromi,” katanya sambil menghargai minat golongan belia untuk terlibat dalam hal berkaitan hak-hak Sabah.

Stephen berkata Star percaya mengenai kepentingan kerjasama antara Persekutuan dan Sabah namun kerjasama itu mestilah berlandaskan penghormatan bersama terhadap hak dan kuasa sebagaimana termaktub dalam MA63 — satu perjanjian yang diperjuangkan tanpa henti oleh Dr Jeffrey.

Beliau turut menyeru rakyat Sabah dan Labuan untuk terus menyokong perjuangan Star khususnya menjelang pilihan raya akan datang.

“Ini peluang bagi memastikan suara Sabah lebih kuat dan dihormati.

“Perjuangan menuntut hak Sabah bukanlah untuk kepentingan individu tetapi demi kehidupan yang lebih baik, makmur dan berdaulat bagi rakyat dalam Persekutuan Malaysia. Bersama Star, kita junjung Keadilan untuk Sabah,” tegasnya.