
Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Airku (Star) mengugut untuk keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekiranya gabungan kerajaan negeri itu meneruskan pakatan pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang.
Presiden Star Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (gambar) berkata beliau akan menghadiri mesyuarat majlis presiden lapan parti GRS pada malam Rabu untuk membincangkan perkara tersebut, lapor The Star.
“Daripada apa yang saya lihat, apabila saya bertemu Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) beberapa hari lalu, mereka sebenarnya sudah membuat keputusan (mengenai pakatan GRS-PH).
“Jadi, jika mereka sudah putuskan, mesyuarat presiden nanti hanyalah untuk mengesahkan (pakatan) itu.
“Tetapi, jika pada saat akhir beliau (Hajiji) berkata, ‘Baiklah, kita dengar suara rakyat, kita bergerak secara solo’, maka saya akan ikut,” katanya dipetik sebagai berkata.
Perubahan nada Jeffrey itu berlaku dua bulan selepas beliau menolak spekulasi bahawa Star akan keluar daripada GRS berikutan satu klip TikTok tular yang mencadangkan kemungkinan itu jika GRS terpaksa bekerjasama dengan Barisan Nasional dan PH.
Bagaimanapun, Hajiji kemudian mengumumkan bahawa gabungannya dan PH akan membentuk kerjasama untuk menghadapi pilihan raya negeri.
Jeffrey, yang juga Timbalan Ketua Menteri I, berkata beliau pada asalnya mencadangkan agar PH bertanding hanya di tujuh kerusi penyandang mereka, menggunakan logo GRS.
Beliau berkata walaupun Majlis Tertinggi GRS pada awalnya meluluskan 15 daripada 73 kerusi negeri untuk PH, gabungan itu kini mungkin diperuntukkan 21 hingga 23 kerusi.
“Paling banyak yang boleh saya terima ialah jika mereka (PH) kekalkan tujuh kerusi itu,” katanya sambil menambah semua parti GRS menggunakan logo GRS tetapi PH enggan berbuat demikian.
Jeffrey turut menegaskan pendirian Star adalah berdasarkan sentimen akar umbi dan beliau sudah menekankan perkara itu dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jika GRS bergerak secara solo, saya ikut. Jika tidak, saya tidak boleh ikut kerana itu bertentangan dengan sentimen majoriti rakyat.
“Dan saya tidak boleh melawan rakyat,” katanya.
Ditanya sama ada Parti Bersatu Sabah (PBS) yang berteraskan masyarakat tempatan akan mengikut jejak Star keluar daripada GRS jika pakatan itu diteruskan, Jeffrey berkata walaupun kedua-dua parti mempunyai memorandum persefahaman, PBS tidak mungkin berbuat demikian.
Mengenai tuduhan rasuah oleh seorang ahli perniagaan, beliau berkata dirinya pernah melalui siasatan serupa oleh agensi persekutuan ketika menjadi Pengarah Yayasan Sabah di bawah kerajaan negeri Parti Bersatu Sabah pada lewat 1980an dan 1990an.
“Semasa era PBS dulu pun mereka lakukan perkara sama terhadap saya.
“Mereka kata saya mencuri, saya rasuah dan mengambil RM4 bilion daripada Yayasan Sabah,” katanya sambil menambah, perkara sama sedang berlaku sekali lagi.
“Akhirnya apabila mereka tidak menemui apa-apa, saya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” katanya sambil menegaskan semangatnya tidak pernah patah.
“Ia (tuduhan terbaru) bertujuan menjatuhkan imej saya. Kemudian untuk melemahkan GRS. Dan untuk menakutkan penyokong saya, khususnya YB-YB (Adun) saya.
“Jadi, meskipun saya terpaksa berjuang sendirian, saya akan tetap berjuang sendirian.
“Meskipun YB-YB saya meninggalkan saya, saya akan teruskan sendiri,” katanya sambil menambah beliau tidak terkejut jika wakil rakyatnya turut berada di bawah tekanan.
“Saya seorang pemimpin untuk rakyat. Saya ada perjuangan. Misi saya ialah untuk memperjuangkan rakyat,” katanya.


