Starbucks Malaysia tutup 54 cawangan, kini berjumlah 247 outlet setakat 30 Jun 2026

LocalBusiness & Finance
29 Oct 2026 • 5:14 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Starbucks Malaysia tutup 54 cawangan, kini berjumlah 247 outlet setakat 30 Jun 2026 Image from: Starbucks Malaysia tutup 54 cawangan, kini berjumlah 247 outlet setakat 30 Jun 2026 johardy29/10/2026 - 17:14 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Okt - Starbucks Malaysia mengurangkan jumlah rangkaian kedainya sebanyak 54 cawangan kepada 247 setakat 30 Jun 2026, ketika pengendalinya, Berjaya Food Bhd (BFood), melaksanakan penutupan kedai berprestasi lemah bagi mengurangkan kos operasi dan memulihkan perniagaan.

 

Menurut Laporan Tahunan 2026 BFood, jumlah cawangan Starbucks Malaysia berkurangan daripada 301 pada tahun kewangan 2025 kepada 247 pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.

 

BFood menjelaskan, penutupan cawangan yang mencatatkan prestasi tidak memuaskan membolehkan syarikat menyusun semula operasinya dan menumpukan sumber kepada lokasi yang mempunyai potensi perniagaan lebih kukuh serta prospek jangka panjang yang lebih baik.

 

Walaupun jumlah cawangan berkurangan, pendapatan Starbucks Malaysia meningkat 3.2% kepada RM433.3 juta berbanding RM419.8 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Kerugian sebelum cukai Starbucks Malaysia turut mengecil sebanyak RM173.6 juta atau 75.2% kepada RM57.3 juta berbanding RM230.9 juta pada tahun kewangan 2025.

 

Penjimatan kos bantu kurangkan kerugian

Menurut BFood, pengurangan kerugian itu didorong oleh rosot nilai dan hapus kira aset yang lebih rendah, peningkatan pendapatan serta langkah penjimatan kos yang mengurangkan perbelanjaan operasi.

 

Syarikat itu berkata, peningkatan pendapatan walaupun mempunyai rangkaian kedai yang lebih kecil turut disokong oleh inisiatif pemulihan jenama dan strategi pemasaran untuk menarik pelanggan kembali mengunjungi Starbucks.

 

BFood kini memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan prestasi cawangan sedia ada berbanding sekadar memperluas rangkaian kedai.

 

Sebagai sebahagian daripada strategi pemulihan, Starbucks Malaysia akan memperkukuh program Starbucks Rewards serta menambah baik aplikasi mudah alihnya melalui ciri daftar masuk harian, program rujukan dan ganjaran pelanggan.

 

Syarikat itu turut merancang memperluas kemudahan pesanan dan pembayaran melalui telefon mudah alih, termasuk perkhidmatan pengambilan pesanan di tepi jalan di hospital dan stesen minyak terpilih.

 

Berjaya Food masih mencatatkan kerugian

Di peringkat kumpulan, BFood merekodkan pendapatan RM501.44 juta bagi tahun kewangan 2026, meningkat 4.6% berbanding RM479.45 juta pada tahun sebelumnya.

 

Kerugian sebelum cukai kumpulan mengecil kepada RM108.53 juta daripada RM278.91 juta, manakala kerugian yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat berkurangan kepada RM105.95 juta berbanding RM286.99 juta.

 

BFood berkata, prestasi yang bertambah baik itu disokong oleh sumbangan Starbucks Malaysia dan operasi luar negara, selain langkah penjimatan kos serta penyusunan semula rangkaian cawangan.

 

Bagaimanapun, lembaga pengarah tidak mengesyorkan pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2026 kerana syarikat masih perlu memperkukuh kedudukan kewangan dan mengekalkan sumber bagi menampung operasi serta keperluan modal kerja. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved