
PETALING JAYA: Status 55 rakyat Malaysia yang belum dapat dikesan susulan tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal masih belum diketahui.
Keluarga mangsa kini terus menantikan maklumat rasmi daripada pihak berkuasa selain berharap usaha pencarian dapat menemukan semua rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan.
Isteri kepada Pegawai Latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah, Mohd. Fakhrul Munir, Hani Othman berkata, pihaknya ada menerima perkembangan daripada Wisma Putra namun setakat ini masih belum ada sebarang perkembangan baharu mengenai usaha mencari mangsa.
Menurutnya, pihak berkuasa akan terus berusaha mengesan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.
“Memang ada terima kemas kini daripada Wisma Putra, tetapi belum ada apa-apa perkembangan.
“Mereka akan terus berusaha untuk mencari. Saya sendiri masih tengok keadaan sama ada perlu pergi ke negara berkenaan semula atau tidak,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Sementara itu, ahli keluarga kepada salah seorang rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan, Izza Nazira Md Nasir, berkata keluarganya kini hanya menunggu perkembangan rasmi daripada Wisma Putra berhubung nasib bapa saudaranya, Muhammad Nasir Abdul Talib.
Katanya, Muhammad Nasir gagal dihubungi ketika berada di Nepal dan keluarga berharap beliau bersama rakyat Malaysia lain yang masih hilang dapat ditemukan.
“Kami pun tak pasti. Kami cuma menunggu kenyataan daripada Wisma Putra.
“Tiada apa-apa pun setakat ini. Apa yang Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan cakap semalam itu sahaja, tetapi tiada perkembangan untuk mangsa atau keluarga,” jelasnya. – UTUSAN
The post Status 55 rakyat Malaysia hilang di Nepal belum diketahui appeared first on Utusan Malaysia.





