Stereoangel tampil kelainan menerusi lagu raya

EntertainmentMusic
17 Mar 2025 • 12:56 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Kazalinah Kamaludin

BAND rock dari Tuaran, Stereoangel tampil dengan kelainan apabila melancarkan lagu raya berjudul Ucapkanlah Selamat Hari Raya. Karya ciptaan vokalis, Qammal Maidi ini mengetengahkan konsep rock moden segar, berbeza daripada kebanyakan lagu raya yang sering berentak klasik atau pop.

Qammal, yang mesra dipanggil Mhai, berkata Ucapkanlah Selamat Hari Raya juga umpama ‘pembuka selera’ sebelum kumpulan terbabit melancarkan album penuh sulung mereka, Abstraksasi.

“Keputusan untuk memasukkan lagu raya dalam album ini dibuat kerana lagu ‘bermusim’ seperti ini jarang dihasilkan oleh band dari Sabah.“Kami mahu mencipta sesuatu yang unik dan dekat di hati peminat, dan diharapkan lagu raya ini akan menjadi ‘pembuka selera’ kepada pendengar yang belum mengenali band ini secara dekat,” katanya kepada Hiburan Ekspres.

Qammal, yang juga pemain gitar Stereoangel, berkata Ucapkanlah Selamat Hari Raya mengisahkan perjalanan balik kampung ketika menyambut Aidilfitri. KETIKA pembikinan muzik video Ucapkanlah Selamat Hari Raya.

“Dalam video muzik lagu ini, kami turut menyelitkan ‘plot twist’ yang akan mengajak penonton berteka-teki selepas menonton video tersebut.

“Kami harap lagu ini juga dapat memikat halwa telinga pendengar,” katanya.

Menjalani penggambaran di sekitar Tuaran, muzik video Ucapkanlah Selamat Hari Raya diarahkan oleh pempengaruh dan pencipta kandungan popular dari Sabah, Jake Hays.

Sementara itu, bercakap mengenai album Abstraksasi, Mhai berkata naskhah itu bakal memuatkan sembilan lagu berkonsepkan rock moden.

“Abstraksasi dipilih sebagai judul kerana kepelbagaian mesej yang ingin disampaikan dalam lagu-lagu yang dimuatkan dalam album sulung ini.

“Karya yang dihasilkan tidak hanya tertumpu pada kisah cinta sahaja, dan yang uniknya, lagu-lagu dalam album ini berkisarkan pelbagai isu umum semasa serta diselitkan satu lagu raya,” katanya.

Menerima dana daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures, Mhai berkata pembikinan album Abstraksasi dijangka siap pada Mei dan dilancarkan pada Jun tahun ini.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan kerajaan yang berterusan terhadap pembangunan industri kreatif melalui program Dana Kandungan Kreatif.

"Stereoangel berharap lagu-lagu dalam album ini mudah diterima oleh semua golongan pendengar,” katanya.

Ditubuhkan pada 2005, Stereoangel turut dianggotai oleh Nai selaku pemain bass, Moli (dram), Hasdee (gitar utama), dan Apis selaku pemain papan nada (synth).

Diterbitkan oleh Mesqa Enterprise, rakaman album Abstraksasi dibuat di La’acoustica Empire Studio, Tuaran.