
NIBONG TEBAL : Keputusan PKR untuk meletakkan 30 peratus calon wanita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini disifatkan sebagai satu ‘tawaran’ yang baik untuk rakyat membuat pilihan.
Ketua Wanita PKR, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pada masa yang sama, keputusan tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha parti itu untuk terus memartabatkan peranan wanita sebagai calon dalam pilihan raya berkenaan.
“Jadi, mudah-mudahan sokongan rakyat akan kita lihat dalam PRN kali ini, dengan penampilan calon-calonnya. Dalam hal ini, Keadilan (PKR) juga akan menampilkan 30 peratus calon wanita.
“Saya fikir itu juga satu tawaran yang baik untuk rakyat membuat pilihan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Negaraku: Aku Kasih Malaysia di sini, hari ini.
Pada PRN Melaka nanti, PKR dijangka bertanding di sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan tiga daripada kerusi tersebut iaitu kerusi DUN Machap Jaya, DUN Klebang dan DUN Rim akan ditandingi oleh calon wanita.
Ditanya mengenai kemungkinan PKR akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRN tersebut, Fadhlina memberitahu, dari segi dinamika pasukan atau dari segi komitmen, PKR masih lagi bersama Pakatan Harapan (PH) setakat ini.
“Jadi, kita akan pergi (berkempen) sebagai satu pasukan iaitu sebagai Pakatan Harapan. insya-Allah dan semalam, kita sudah pun lancarkan juga slogan kita, ‘Melaka Rumah Kita’,” ujar beliau.-UTUSAN
The post PRN Melaka: 30 peratus calon wanita ‘tawaran’ baik untuk rakyat memilih appeared first on Utusan Malaysia.






