Steven Sim Dimasyhurkan Canselor UKKM, Garis Visi AI Driven Business School Terbaik Di Malaysia

Local
21 May 2026 • 6:57 PM MYT
Newswav PR
Newswav PR

Sponsored content from various brands & advertisers

Image from: Steven Sim Dimasyhurkan Canselor UKKM, Garis Visi AI Driven Business School Terbaik Di Malaysia
Imej oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Encik Steven Sim Chee Keong hari ini dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) dalam Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Kali Ke-2 UKKM yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).

Pada Majlis yang sama, YB Steven Sim juga menyampaikan sijil kepada 26 graduan menerima diploma dan ijazah melibatkan lima (5) program akademik iaitu Diploma Pengurusan Koperasi, Diploma Keusahawanan Koperasi, Master in Business Administration (Cooperative Management), Master in Business Administration (Corporate Leadership) dan Master in Business Administration.

Dalam ucapannya, YB Steven Sim merakamkan penghargaan kepada Canselor terdahulu, YB Datuk Ewon Benedick, atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang tempoh awal pembangunan UKKM.

“UKKM masih muda, tetapi usia muda ini sebenarnya kekuatan kita. Kita ditubuhkan dalam era revolusi AI. Justeru kita ada peluang untuk membina sebuah universiti yang benar-benar relevan dengan dunia baharu,” katanya.

YB Steven Sim turut berkongsi visinya untuk menjadikan UKKM bukan sahaja sebagai sekolah perniagaan terbaik di Malaysia, tetapi sebagai “AI-driven business school” yang melahirkan generasi baharu usahawan, pemimpin koperasi dan penggerak ekonomi masa depan.

Menurut beliau, UKKM perlu berpaksikan semangat gerakan koperasi yang diperjuangkan Tokoh Koperasi Negara, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz, iaitu memajukan ekonomi rakyat, menjaga kebajikan rakyat serta membina perpaduan rakyat.

Image from: Steven Sim Dimasyhurkan Canselor UKKM, Garis Visi AI Driven Business School Terbaik Di Malaysia
Imej oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi

Dalam ucapan tersebut, YB Steven Sim turut menggariskan pendekatan “ABCD” sebagai pedoman utama pembangunan UKKM.

“A” merujuk kepada penglibatan Adjunct Professor daripada kalangan pemain industri, tokoh koperasi, usahawan, pelabur dan pembuat dasar supaya mahasiswa dapat belajar terus daripada dunia sebenar.

“B” pula ialah pembinaan kampus bijak (smart campus) yang memberi penekanan kepada pelaburan teknologi, khususnya AI dan digitalisasi, agar UKKM menjadi kampus yang bijak dan berdaya saing.

“C” membawa maksud cepat, termasuk keperluan menilai semula tempoh pengajian agar lebih anjal (fleksibel) dan relevan dengan perubahan pesat dunia pekerjaan serta teknologi.

“D” pula ialah dunia sebenar, di mana budaya pembelajaran UKKM perlu berasaskan pengalaman industri dan realiti pasaran semasa.

Menurut YB Steven Sim, sehingga Disember 2025, gerakan koperasi di Malaysia telah mencatatkan perolehan hampir RM82 bilion, sekali gus membuktikan sektor koperasi dan keusahawanan mempunyai potensi besar untuk pembangunan kerjaya dan ekonomi negara.

UKKM merupakan institusi pengajian tinggi milik Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di bawah KUSKOP. Universiti ini mula beroperasi pada tahun 2023 dan menawarkan program pengajian daripada peringkat Diploma dan Sarjana Muda hingga ke peringkat Sarjana serta Doktor Falsafah (PhD).

Image from: Steven Sim Dimasyhurkan Canselor UKKM, Garis Visi AI Driven Business School Terbaik Di Malaysia
Imej oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi

Dalam majlis sama, YB Steven Sim turut memaklumkan bahawa Yayasan Bank Rakyat telah menyediakan biasiswa bernilai lebih RM4 juta bagi tempoh tiga tahun untuk pelajar UKKM. Selain itu, Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi turut menaja lebih RM516,000, manakala Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah (JPANS) menyumbang RM158,000. Secara keseluruhan, jumlah biasiswa yang boleh ditawarkan UKKM setakat ini telah menghampiri RM5 juta. Setakat ini, kira-kira 50 pelajar sedang menikmati manfaat biasiswa tersebut.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan pihak yang telah membantu pembangunan UKKM, termasuk institusi kewangan, agensi kerajaan serta rakan industri.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada para graduan, pensyarah, fakulti serta ahli keluarga yang hadir meraikan kejayaan konvokesyen tersebut.