
PETALING JAYA: Malaysia tidak boleh membina ekonomi hijau yang berdaya saing dengan hanya bergantung kepada syarikat besar, sebaliknya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu diperkasa untuk meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga, air, bahan api dan bahan mentah.
MBSB Research berkata, masih banyak PKS tidak pasti mengenai perubahan yang perlu dilaksanakan, kaedah pembiayaan serta keupayaan pelaburan berkenaan menghasilkan pulangan yang boleh diukur.
Katanya, penggunaan mesin yang kurang cekap, pembaziran sumber dan kekurangan data operasi turut menyukarkan PKS mengawal kos serta mengenal pasti langkah penambahbaikan yang benar-benar berbaloi.
“Pembiayaan hijau masih belum difahami sepenuhnya oleh banyak perniagaan kecil dan sering dianggap hanya sesuai untuk syarikat besar.
“Kekangan sumber, kekurangan pengetahuan teknikal, salah faham mengenai pembiayaan hijau serta proses mendapatkan pembiayaan yang dianggap rumit terus memperlahankan penggunaannya,” katanya dalam nota penyelidikan.
MBSB Research berkata, keperluan untuk PKS meningkatkan keupayaan dalam aspek kelestarian juga semakin mendesak berikutan tuntutan pelanggan, khususnya dalam kalangan pengeksport dan pembekal kecil.
Katanya, syarikat berkenaan semakin perlu memenuhi tuntutan pelanggan berkaitan penggunaan tenaga, pelepasan karbon dan kesan operasi terhadap alam sekitar.
“Walaupun cadangan pindaan oleh Kesatuan Eropah mungkin mengurangkan bilangan kumpulan syarikat di luar Kesatuan Eropah yang tertakluk secara langsung kepada keperluan tersebut, syarikat yang masih terlibat boleh meminta pembekal mengemukakan data pelepasan karbon, maklumat tenaga kerja dan rekod yang membolehkan asal usul produk dijejaki,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, antara sektor yang berpotensi terkesan termasuk elektronik, minyak sawit, getah dan pembuatan bahan kimia.
Sehubungan itu, MBSB Research berkata, persediaan awal penting bagi memastikan PKS tidak ketinggalan apabila keperluan kelestarian dan rantaian bekalan semakin ketat.
Katanya, selepas mengenal pasti mesin, proses atau premis perniagaan yang perlu ditambah baik, persoalan utama bagi PKS ialah kaedah membiayai penambahbaikan berkenaan.
Dalam hal ini, Green Biz Financing oleh MIDF membantu syarikat pembuatan dan perkhidmatan tempatan yang layak mengguna pakai teknologi hijau atau melaksanakan projek kecekapan tenaga.
Skim berkenaan menawarkan pembiayaan sehingga RM10 juta pada kadar serendah tiga peratus setahun bagi pembelian mesin, peralatan cekap tenaga dan aset tetap lain.
Bagaimanapun, setiap permohonan tertakluk kepada penilaian kredit serta kelulusan MIDF.
Maklumat lanjut mengenai Sustainable Green Biz Financing oleh MIDF, termasuk syarat kelayakan dan kaedah permohonan, boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi program berkenaan. – UTUSAN
The post PKS perlu diperkasa pacu ekonomi hijau negara appeared first on Utusan Malaysia.






