‘Suami arwah hubungi adik, dia sudah bunuh isteri’

16 Oct 2026 • 9:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Suami arwah hubungi adik, dia sudah bunuh isteri’

NILAI – Ahli keluarga tidak menyangka adik bongsu yang dikenali sebagai seorang periang dan ceria pergi buat selama-lamanya dalam keadaan tragis, apatah lagi apabila mangsa tidak pernah menunjukkan masalah dihadapi.

Itulah kesedihan ditanggung, Amran Ibrahim, 59, apabila adik bongsunya itu, Allahyarham Norhazwani, 35, ditemui maut dipercayai dibunuh suami sendiri di sebuah unit kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Menurut Amran, Allahyarham yang mesra dipanggil Paney atau Moksu tidak pernah berkongsi secara terperinci masalah rumah tangga dihadapinya, walaupun keluarga difahamkan dia sedang melalui proses perceraian.

Katanya, berita kematian adik bongsu daripada sembilan beradik itu diterima kira-kira pukul 7.30 malam selepas seorang lagi adiknya memaklumkan perkara berkenaan.

“Suami arwah menghubungi adik saya dan memberitahu bahawa dia sudah membunuh isterinya sebelum menyerah diri di balai polis.

“Saya kemudian menghubungi Balai Polis Sepang untuk bertanyakan perkara itu sebelum diminta merujuk kepada Balai Polis Nilai. Pihak polis mengesahkan adik saya dipercayai ditikam suspek,” katanya ketika ditemui.

Amran berkata, dia terlalu sedih apabila menerima berita berkenaan sehingga sukar menggambarkan perasaannya kehilangan adik kandung sendiri dalam kejadian menyayat hati itu.

“Sedih, memang sedih sangat. Saya tidak boleh nak cakap apa-apa, terlalu sedih,” katanya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan seorang pegawai kerajaan berusia 35 tahun ditemui maut dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian di sebuah unit kuarters KLIA, kira-kira pukul 7.30 malam tadi.

The post ‘Suami arwah hubungi adik, dia sudah bunuh isteri’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved