Suami isteri ditahan bersama 3.3kg dadah

1 Nov 2026 • 3:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Suami isteri ditahan bersama 3.3kg dadah
Lee Robert (tengah) semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin pada Ahad. Foto Bernama

JASIN - Polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah selepas merampas Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 3.326 kilogram serta barangan sitaan lain bernilai keseluruhan RM617,714 di Merlimau pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, suspek lelaki berusia 45 tahun dan wanita berusia 32 tahun yang bekerja sebagai tukang masak serta juruwang itu ditahan kira-kira jam 1.40 tengah hari di tepi jalan di Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin), Merlimau di sini, hasil maklumat dan risikan.

"Pemeriksaan lanjut terhadap sebuah kenderaan Toyota Vellfire yang digunakan suspek membawa kepada penemuan dadah yang dibungkus dalam paket dan disimpan di dalam sebuah kotak di tempat duduk penumpang.

"Selain dadah, polis turut menyita kenderaan yang dianggarkan bernilai RM100,000, barang kemas seberat kira-kira 26 gram bernilai RM18,814 serta wang tunai RM2,800,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini pada Ahad.

Lee Robert berkata, siasatan awal mendapati mereka dipercayai terlibat dalam aktiviti pengambilan dan pengendalian bekalan dadah sejak Oktober lepas.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dipercayai berperanan sebagai orang tengah untuk menghantar bekalan dadah di sekitar Melaka, namun polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sumber bekalan, destinasi penghantaran serta rangkaian pengedaran yang terlibat.

"Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati negatif dadah manakala semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau berkaitan dadah atau jenayah.

"Kedua-dua suspek direman selama enam hari sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. - Bernama

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved