Suami isteri ditahan proses air ketum, 329 liter dirampas

17 Aug 2026 • 8:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Suami isteri ditahan proses air ketum, 329 liter dirampas
Ratusan bungkusan daun dan air ketum serta pelbagai peralatan memproses yang berjaya dirampas pihak polis dalam serbuan di Kampung Bukit Rangin di sini.
Image from: Suami isteri ditahan proses air ketum, 329 liter dirampas
Air dan daun ketum yang dirampas polis dalam serbuan di Kampung Bukit Rangin di sini.

KUANTAN – Tindakan sepasang suami isteri menjadikan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bukit Rangin sebagai lokasi memproses dan menjual air ketum terbongkar selepas diserbu pihak polis pada Ahad.

Dalam serbuan kira-kira jam 4 petang itu, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan menahan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun bersama isterinya, 62 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian membawa kepada rampasan 187.5 kilogram (kg) daun ketum serta 329 liter air ketum yang dibungkus dalam 470 bungkusan plastik.

"Kita turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum termasuk tong gas, dapur besi, periuk aluminium, penapis, penimbang elektronik dan jug plastik.

“Nilai keseluruhan rampasan barang kes dianggarkan RM15,745,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

**media[3618079]**

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati suspek lelaki yang mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah.

Jelasnya, malah suspek mengaku sudah terlibat dalam kegiatan memproses air ketum di lokasi berkenaan sejak lebih sebulan lalu.

Ashari menambah, suspek turut mengaku membuat permintaan bekalan daun ketum sebanyak 300kg setiap minggu untuk diproses semula menjadi air ketum.

“Daun ketum dibekalkan dalam bentuk bungkusan seberat 250 gram dan dijual pada harga RM40 sebungkus, dengan pembelian minimum satu kilogram.

“Air ketum yang diproses kemudiannya dijual kepada pelanggan di sekitar Kuantan termasuk kawasan Tanah Putih Baru,” katanya.

Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved