IPOH - Satu sindiket yang membantu rangkaian komunikasi penipuan dalam talian tumpas susulan penahanan tiga lelaki dalam serbuan di sekitar Lembah Klang pada Khamis lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan melibatkan lima lokasi di sekitar Petaling Jaya, Kelana Jaya, Hulu Kelang dan Damansara.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia antara 32 hingga 45 tahun itu dipercayai berperanan menyediakan kemudahan komunikasi bagi melancarkan kegiatan penipuan yang beroperasi dari luar negara.
“Dalam operasi tersebut, polis turut merampas pelbagai peralatan komunikasi termasuk lapan unit simbox, 11 unit Starlink, 509 keping kad SIM, sebuah komputer riba, dua unit router dan lima telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, peralatan itu dipercayai digunakan sebagai ‘call gateway’ bagi menguruskan laluan aliran komunikasi sindiket penipuan sekali gus menyukarkan pihak berkuasa mengesan panggilan yang dibuat.
Katanya, kejayaan itu adalah hasil risikan dan siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar susulan satu laporan kes penipuan yang diterima sebelum ini.
“Kes berkenaan melibatkan seorang penuntut institusi pengajian tinggi berusia 22 tahun yang menjadi mangsa penipuan pada 31 Julai lalu,” katanya.
**media[3616402]**
Mohd Alwi berkata, dalam kes itu, mangsa pada mulanya menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai wakil syarikat penghantaran dan mendakwa terdapat kiriman parcel mengandungi barangan terlarang atas namanya.
Jelas beliau, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa yang menuduh mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram.
“Mangsa telah ditakutkan dengan ancaman tangkapan dan pendakwaan sehingga menyebabkan dia mengikut segala arahan diberikan termasuk memindahkan wang tunai sebanyak RM8,999 ke beberapa akaun yang diberikan suspek.
"Mangsa turut diarahkan meletakkan barang kemas miliknya melibatkan rantai, cincin, subang dan gelang emas dengan anggaran nilai kira-kira RM20,000 di atas tembok rumah di Kampar, kononnya bagi tujuan siasatan sebelum dipulangkan semula,” katanya.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas wang dan barang kemas tersebut tidak dipulangkan sebelum membuat laporan polis pada 1 Ogos lalu.
Kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga 17 Ogos bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.






