Suami isteri, dua anak sesat lebih tiga jam ketika mendaki

24 Aug 2025 • 2:38 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

BUKIT MERTAJAM, 24 OGOS: Empat sekeluarga melalui detik cemas selepas sesat lebih tiga jam ketika mendaki di Berapit Hill Trail, di sini sebelum berjaya diselamatkan pihak bomba, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya, menerima panggilan kecemasan pada 8.08 malam memaklumkan suami isteri dan dua anaknya, sesat di kawasan hutan tersebut.

“Mereka dilaporkan sesat ketika melakukan aktiviti pendakian di kawasan itu dan difahamkan keluarga tersebut mendaki bermula 6 petang, sebelum gagal menemui laluan untuk turun semula ke kaki bukit serta bertindak menghubungi pihak berkuasa.

“Mereka ditemukan selamat pada 10.09 malam oleh anggota bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat, sebelum seterusnya dibawa turun ke kaki bukit,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata operasi itu dijalankan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam, dibantu Pasukan Bomba Sukarela Bukit Mertajam.

- BERNAMA