.jpg)
KUALA LUMPUR - Isteri kepada seorang lelaki warga emas yang terbunuh dalam kejadian pecah rumah dan rompakan di Jalan Melayu, Ayer Tawar, masih belum dimaklumkan mengenai berita kematian suaminya itu.
Difahamkan, wanita terbabit masih dirawat di hospital akibat kecederaan serius dalam serangan yang sama.
Anak sulung mangsa, yang dikenali sebagai Teh, berkata, keluarga bimbang berita tersebut boleh memburukkan lagi keadaan kesihatan ibunya.
“Kami masih tidak berani memberitahu ibu bahawa ayah telah meninggal dunia akibat serangan itu.
“Ibu ada bertanya tentang keadaan ayah, dan kami hanya beritahu dia bahawa ayah cedera. Kami mungkin akan beritahu ibu perkara sebenar dalam satu atau dua hari lagi,” katanya, seperti dilaporkan China Press.
Teh berkata demikian kepada wartawan ketika ditemui di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, ketika beliau menguruskan proses tuntutan jenazah bapanya.
Beliau berkata, bapanya mengalami kecederaan parah di kepala dalam kejadian itu, dan patah di bahagian tangan kanan.
Kejadian yang meragut nyawa bapa Teh berlaku apabila kediaman pasangan berkenaan dipecah masuk seorang lelaki yang cuba merompak.
Ia kemudian bertukar ganas apabila perompak terbabit bertibdak menyerang suami isteri tersebut.
Ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan, Teh berkata polis bertindak pantas menjalankan siasatan tetapi keluarga masih belum dimaklumkan sebarang perkembangan.
Mayat mangsa jelasnya lagi, akan dibawa pulang ke Ayer Tawar untuk urusan pengebumian.
Polis sebelum ini mengesahkan seorang lelaki berusia 84 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan, manakala isterinya masih dalam keadaan kritikal susulan serangan.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, polis menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.30 pagi.
Siasatan awal mendapati pasangan terlibat diserang menggunakan objek keras, oleh seorang lelaki yang memecah masuk kediaman mereka.
“Suspek melarikan diri dengan dua telefon bimbit dan sebuah dompet milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasbullah berkata, jiran yang terdengar kekecohan telah membantu membawa mangsa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan, namun mangsa lelaki disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Susulan kejadian, seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan pada jam 7.45 malam hari yang sama.
“Kami turut merampas beberapa barangan dipercayai milik mangsa,” katanya sambil menambah, suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali jika hukuman mati tidak dikenakan.
Siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Polis meminta saksi atau sesiapa yang mempunyai maklumat untuk menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di 05-688 6222 atau talian WhatsApp 017-682 8005 bagi membantu siasatan. - Getaran, 9 Mei 2026
