
SHAH ALAM: Penyanyi dan pelakon, Amyza Aznan berkongsi bahawa suaminya Khairil Izhar Mohd. Nazir sudah mempunyai perkembangan positif namun masih ditidurkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Amyza berkata, doktor telah mula mengurangkan bantuan pernafasan (extubate) secara berperingkat selepas melihat tindak balas fizikal yang memberangsangkan.
“Keadaan dia masih ditidurkan lagi, cuma doktor sudah kurangkan extubate (prosedur cabut tiub pernafasan) sedikit. Jadi, dia kini sudah boleh membuka mata dan terdapat sedikit pergerakan pada bahagian tangan.
“Bagaimanapun, doktor belum boleh melakukan prosedur tersebut sepenuhnya memandangkan keadaan jantungnya yang masih lemah. Itu sahaja perkembangan setakat ini,” katanya ketika ditemui sejurus konsert minggu kedua Kilauan Emas Selebriti, semalam.
Mengulas lanjut mengenai penjagaan suaminya, Amyza memberitahu dia menyerahkan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak hospital memandangkan peraturan ketat di unit rawatan yang tidak membenarkan waris menunggu pesakit.
“Dia belum masuk wad biasa, masih di Unit Rawatan Jantung HKL di bawah pantauan rapi doktor. Di sana memang tidak boleh ada orang jaga.
“Waktu melawat pula sangat terhad iaitu pada waktu tengah hari dan petang sahaja. Segala urusan penjagaan diri seperti mandi dan menukar lampin semuanya dilakukan oleh jururawat dan doktor di sana,” jelasnya.
Dalam pada itu, Amyza yang kini sedang sibuk dengan komitmen program nyanyian dan kelas vokal mengakui jadual hariannya sangat padat bagi mengimbangi kerjaya serta urusan keluarga.
Ujarnya, fokusnya kini terbahagi kepada beberapa perkara termasuklah pengurusan rawatan suaminya dan keperluan anak-anak, terutamanya Adrian.
“Jadual memang terlalu padat dengan latihan nyanyian, urusan rawatan Ian, fokus di rumah serta kerja-kerja lain. Kelas vokal itu sekejap sahaja, tetapi urusan lain termasuk perihal Adrian yang mengambil masa lama.
“Jadi saya tidak berkesempatan sangat untuk kerap berulang-alik ke hospital. Namun saya tenang kerana tahu dia di bawah jagaan pakar dan jururawat yang sangat baik,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Amyza berkongsi suaminya Khairil Izhar berada dalam keadaan kritikal dan terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Jantung (CCU), HKL akibat komplikasi kesihatan. -UTUSAN
The post Suami masih ditidurkan, ada pergerakan tangan – Amyza Aznan appeared first on Utusan Malaysia.






