Kenaikan insentif bukan penyelesaian, PeSAWAH tuntut disenaraikan di bawah SKDS

LocalPolitics
16 Apr 2026 • 10:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kenaikan insentif bukan penyelesaian, PeSAWAH tuntut disenaraikan di bawah SKDS
Abdul Rashid

SHAH ALAM - Pengumuman Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) bagi musim penanaman 2026 yang dinaikkan kepada RM300 sehektar pada Selasa, masih belum mampu menampung kos sebenar operasi di lapangan.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, penambahan sebanyak RM140 sehektar itu tidak dapat mengimbangi kos yang dikeluarkan apabila terpaksa membeli diesel pada harga pasaran semasa iaitu RM6.72 seliter.

"Kos semasa pembajakan sekitar RM700 sehektar tetapi setiap musim kami memerlukan sekurang-kurangnya dua kali pembajakan menjadi kos keseluruhan RM1,400.

"Jurang RM300 dan RM1,400 ii memang tidak boleh kami tampung. Kalau harga semasa bahan api naik lagi, kos mengusahakan sawah akan melambung lagilah," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Abdul Rashid, pengekalan insentif penuaian sebanyak RM50 disifatkan tidak lagi relevan apabila kos penggunaan mesin penuaian kini boleh mencecah sehingga RM875 sehektar.

Selain itu, pihaknya turut meluahkan kebimbangan terhadap kelewatan pembayaran insentif hinggakan pesawah terpaksa mendahulukan wang sendiri bagi menanggung keseluruhan kos penanaman padi.

"Kerajaan umum pemberian insentif penyasaran subsidi diesel Jun 2024, namun selepas tiga musim dilaksanakan, bayaran untuk satu musim sahaja diterima, yang backdated belum terima lagi sedangkan kami telah keluarkan perbelanjaan sendiri.

"Bagi insentif penuaian pula, sehingga kini masih belum sampai di tangan petani. Ini antara kekecewaan kami kerana ia janji pihak kementerian untuk selesaikan kenaikan kos sebelum ini," ujarnya.

Walaupun kerajaan menyediakan insentif pembajakan dan penuaian, Abdul Rashid menegaskan bahawa penyelesaian sebenar isu adalah Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS).

"Kami menuntut kerajaan menyenaraikan sektor penanaman padi di bawah SKDS bagi membolehkan kami memperoleh kemudahan kad fleet seperti mana bot-bot nelayan, kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam," katanya.