
Suami Meninggal Dunia, Bolehkah Isteri Teruskan Haji Ketika Dalam Iddah?
Menunaikan ibadah haji bersama pasangan tercinta pastinya menjadi impian ramai wanita.
Berangkat ke Tanah Suci bersama-sama, melaksanakan ibadah dengan penuh ketenangan, dan akhirnya pulang ke tanah air dalam keadaan yang sama-sama lebih dekat kepada Allah SWT merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna.
Namun, ada kalanya kehidupan menguji kita dengan sesuatu yang tidak disangka-sangka.
Ada yang diuji dengan pemergian suami tercinta ketika berada di Tanah Suci, saat sepatutnya menjadi perjalanan ibadah yang penuh ketenangan dan kebahagiaan.
Apabila seorang wanita berada dalam tempoh iddah kematian suami, timbul persoalan bagaimana kedudukannya jika dia sedang berada di Makkah ketika musibah itu berlaku.
Situasi ini sering mengundang kekeliruan, khususnya dalam kalangan jemaah wanita yang menunaikan ibadah haji kerana mereka perlu menyeimbangkan tuntutan ibadah dengan kewajipan syarak berkaitan iddah.
Bolehkah isteri teruskan ibadah atau jalani iddah?
Pakar Rujuk Tabung Haji, Dr. Shamsiah Mohamad menjelaskan isu ini melibatkan pertembungan dua kewajipan utama, iaitu kewajipan menyempurnakan ibadat haji yang telah dimulakan kerana seseorang sudah berada di Makkah dan kewajipan berkabung (ihdad) dalam tempoh iddah kematian suami.

Secara asasnya, jika seseorang wanita masih berada di tanah air dan belum memulakan perjalanan, maka dia tidak dibenarkan untuk keluar menunaikan haji fardu sekiranya berlaku kematian suami.
Dalam keadaan ini, kewajipan berkabung perlu diutamakan dan ibadat haji hendaklah ditangguhkan.
Namun begitu, situasi berbeza berlaku apabila suami meninggal dunia ketika isteri sudah berada di Makkah atau sedang dalam perjalanan menunaikan haji.
Dibenarkan untuk meneruskan ibadat haji
Dalam keadaan ini, majoriti fuqaha’ berpendapat bahawa isteri dibenarkan untuk meneruskan ibadat hajinya dan menyempurnakan seluruh manasik haji, walaupun berada dalam tempoh iddah wafat suami.
Difahamkan, dia tidak diwajibkan untuk pulang serta-merta atau membatalkan ibadat hajinya.
Walau bagaimanapun, wanita tersebut tetap perlu menjaga adab dan hukum berkabung sepanjang tempoh iddah, termasuk ketika berada di Tanah Suci.

Antara perkara yang perlu dipatuhi ialah tidak berhias, termasuk tidak memakai wangi-wangian, solekan, pakaian yang menarik perhatian, serta perhiasan yang berlebihan.
Menjaga batas pergaulan dan tidak keluar melainkan untuk tujuan ibadah haji, keperluan asas seperti makanan, minuman dan ubat-ubatan.
Selain itu, dia juga dibenarkan untuk ke Masjidil Haram sekiranya terdapat keperluan atau bagi menjaga keselamatan diri.
Keharusan meneruskan ibadat haji menurut Imam al-Nawawi
Keharusan meneruskan ibadat haji dalam keadaan seperti ini turut dijelaskan oleh Imam al-Nawawi dalam Minhaj al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftin fi al-Fiqh
ولو أذن في الانتقال إلى بلد فكمسكن أو سفر حج أو تجارة ثم وجبت في الطريق فلها الرجوع والمضي
Maksudnya: “Jika isteri diberi keizinan (oleh suami) untuk berpindah ke satu negara lain seperti tempat tinggal atau melakukan perjalanan haji atau menjalankan perniagaan, kemudian dia diwajibkan (beriddah) semasa perjalanan itu, maka dibenarkan baginya untuk pulang atau meneruskan perjalanan
Selain itu, Al-Khatib al-Syirbini turut menyebut dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj:
وَلَوْ أَذِنَ) لَهَا (فِي الِانْتِقَالِ إلَى بَلَدٍ فَكَمَسْكَنٍ) فِيمَا ذُكِرَ (أَوْ) أَذِنَ لَهَا (فِي سَفَرِ حَجٍّ أَوْ) عُمْرَةٍ وَ (تِجَارَةٍ) أَوْ اسْتِحْلَالِ مَظْلَمَةٍ أَوْ نَحْوِ ذَلِكَ كَرَدِّ آبِقٍ وَالسَّفَرِ لِحَاجَتِهَا (ثُمَّ وَجَبَتْ) عَلَيْهَا الْعِدَّةُ (فِي) أَثْنَاءِ (الطَّرِيقِ فَلَهَا الرُّجُوعُ) إلَى الْأَوَّلِ (وَالْمُضِيُّ) فِي السَّفَرِ؛ لِأَنَّ فِي قَطْعِهَا عَنْ السَّفَرِ مَشَقَّةٌ، لَا سِيَّمَا إذَا بَعُدَتْ عَنْ الْبَلَدِ وَخَافَتْ الِانْقِطَاعَ عَنْ الرُّفْقَةِ،
"Dan jika (suami) mengizinkannya (untuk berpindah ke suatu bandar, maka ia seperti (berpindah ke) tempat tinggal) sebagaimana yang telah disebutkan, atau (suami) mengizinkannya (untuk melakukan perjalanan haji atau umrah dan (berniaga), atau untuk menuntut kezaliman atau seumpamanya, seperti mengembalikan hamba abdi yang lari dan bepergian untuk keperluannya), kemudian waktu 'iddah menjadi wajib ke atasnya (di tengah perjalanan)
"Maka dia berhak untuk kembali (ke tempat asal) dan juga meneruskan (perjalanan); kerana memutuskan perjalanannya membawa kesusahan, terutamanya jika dia telah jauh dari bandar dan bimbang terputus daripada rombongan."

Tambah beliau, kebenaran untuk meneruskan perjalanan haji adalah untuk menghilangkan kesusahan (masyaqqah) yang mungkin dialami oleh wanita beriddah jika dia diwajibkan pulang ke rumah kediamannya dalam tempoh permusafiran itu.
Lebih-lebih lagi apabila jarak permusafiran itu sudah jauh daripada negaranya dan ada kebimbangan (keselamatan diri dan harta) jika dia terpisah daripada kumpulan musafirnya.
Sekiranya seseorang yang masih dalam perjalanan ke Makkah dibenarkan untuk meneruskan ibadat hajinya, maka lebih utama (awla) lagi bagi jemaah yang sudah berada di Makkah dan telah memulakan ibadat haji untuk meneruskannya hingga selesai.
Baca juga:




