Suami ‘Menyusul’ Selepas Beberapa Jam Isteri, Anak Dikebumikan

3 May 2026 • 9:20 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Pemandu kereta Proton Persona yang kritikal selepas kemalangan di Kilometer 71 Jalan Johor Bahru–Mersing pada petang Jumaat disahkan meninggal dunia pada malam Sabtu.

Kamilin Alias, 56, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.35 malam di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, beberapa jam selepas pengebumian isteri dan anaknya yang terkorban dalam kejadian sama.

Image from: Suami ‘Menyusul’ Selepas Beberapa Jam Isteri, Anak Dikebumikan

Sebelum itu, beliau ditidurkan selepas mengalami kecederaan parah dalam kemalangan membabitkan Proton Persona yang dipandunya dengan sebuah Perodua Bezza ketika dalam perjalanan pulang dari majlis perkahwinan di Mersing.

Image from: Suami ‘Menyusul’ Selepas Beberapa Jam Isteri, Anak Dikebumikan

Dalam kejadian berkenaan, isterinya Rubeta Mohd, 51, dan anak bongsu mereka Nur Isyirah Syakirah, 14, yang turut menaiki kenderaan sama disahkan maut di lokasi kejadian.

Jenazah Kamilin disolatkan di Masjid Taman Seri Saujana sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dagang, Kampung Makam, bersebelahan kubur isteri dan anaknya.

Anak ketiga mangsa, Mohd Aiman, 20, memaklumkan solat jenazah turut diimamkan oleh anak kedua, Mohd Izat, 22, sebelum pengebumian dilakukan.

Kira-kira 100 ahli keluarga, saudara mara dan kenalan hadir memberikan penghormatan terakhir di masjid dan tanah perkuburan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata pihaknya menerima laporan kemalangan pada jam 5.15 petang membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Persona dan Perodua Bezza.

Image from: Suami ‘Menyusul’ Selepas Beberapa Jam Isteri, Anak Dikebumikan

Beliau berkata kedua-dua penumpang Proton Persona maut di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala, manakala pemandu mengalami kecederaan serius sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.

Sumber: Sinar Harian

The post Suami ‘Menyusul’ Selepas Beberapa Jam Isteri, Anak Dikebumikan appeared first on Borak Daily.