Suami pegawai AKPS ada 16 rekod jenayah

20 Oct 2026 • 2:09 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Suami pegawai AKPS ada 16 rekod jenayah

SEREMBAN: Suami kepada pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Norhazwani Ibrahim, 35, yang ditemukan maut di Kompleks Perumahan Awam, Nilai, di sini pada 15 Oktober lalu mempunyai 16 rekod jenayah lampau.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, semakan mendapati 10 daripada rekod itu berkaitan kesalahan narkotik, manakala enam lagi membabitkan kes pecah rumah, curi dan memiliki barang curi.

Bagaimanapun, katanya, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek berusia 30-an itu didapati negatif dadah.

“Seramai 18 individu sudah dirakam keterangan bagi membantu melengkapkan siasatan kes berkenaan. Suspek sebelum ini pernah bekerja sebagai kru pengurusan acara.

“Setakat ini, siasatan masih berjalan dan pihak kami akan merujuk kertas siasatan kepada pihak pendakwaan pada Rabu ini untuk tindakan susulan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, polis juga tidak pernah menerima sebarang laporan berhubung masalah rumah tangga yang dihadapi mangsa sebelum kejadian.

Sebelum ini, mangsa ditemukan maut di sebuah unit kuarters kakitangan kerajaan di Nilai sebelum suaminya menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor bagi membantu siasatan.

Hasil bedah siasat mendapati, wanita berkenaan maut akibat tekanan pada leher selain laporan bedah siasat juga menemui kesan tikaman pada tepi perut dan pipi.

Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan rumah tangga selepas mangsa dikatakan menyatakan hasrat untuk bercerai.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga selama tujuh tahun dan dikurniakan dua orang anak masing-masing berusia enam dan lima tahun.

Suspek direman selama tujuh hari sehingga 22 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

The post Suami pegawai AKPS ada 16 rekod jenayah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved