
TUMPAT – “Allahyarham kerap melakukan kerja lebih masa. Beliau seorang pegawai yang sangat bagus, rajin dan komited dengan kerja.”
Demikian kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Mohd. Nasaruddin M. Nasir mengenai keperibadian Allahyarham Norhazwani Ibrahim, 35, yang maut dibunuh di rumahnya di Nilai, Negeri Sembilan pada Khamis lalu.
Beliau berkata, Norhazwani yang bertugas di KLIA menyertai AKPS pada 1 Julai lalu selepas bertukar daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia menunjukkan prestasi kerja yang baik sepanjang berkhidmat.
“Setakat ini, AKPS juga tidak menerima sebarang maklumat mengenai masalah yang mungkin dihadapi Allahyarham sebelum kejadian,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga Norhazwani di Kampung Banjir, Telaga Lanas, Pengkalan Kubor, di sini malam tadi.
Mohd Nasaruddin berkata, AKPS Kelantan menyalurkan sumbangan kewangan bagi membantu meringankan beban keluarga Allahyarham termasuk dua anaknya berusia lima dan enam tahun yang masih memerlukan sokongan keluarga.
Tambahnya, sumbangan itu dikumpulkan dalam kalangan warga AKPS Kelantan, manakala agensi itu juga akan meneliti bentuk bantuan kebajikan lain yang bersesuaian untuk keluarga Allahyarham khususnya khairat kematian.
Selain itu, bantuan kaunseling kepada keluarga Allahyarham Norhazwani juga mungkin diselaraskan oleh pihak ibu pejabat AKPS bagi membantu mereka menghadapi kehilangan berkenaan.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam Khamis lalu, Norhazwani ditemukan maut selepas disyaki ditikam suaminya di Kuarters KLIA di Nilai dipercayai akibat perselisihan faham berkaitan rumah tangga.
Polis menerima laporan mengenai kejadian bunuh itu pada 9.30 malam selepas suami mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor.
Suspek direman hingga 22 Oktober ini bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
The post ‘Allahyarham Norhazwani rajin, kerap kerja lebih masa’ appeared first on Kosmo Online.






