
Suami Wakaf Lebih RM60,000 Hibah Arwah Isteri Demi Pahala Berpanjangan
Hidup di dunia ini hanya sementara, segala apa yang kita miliki merupakan satu pinjaman yang suatu hari nanti akan diambil semula oleh Allah SWT. Selain itu, rezeki yang kita dapat mungkin sebahagiannya milik orang lain.
Selagi masih ada peluang untuk memberi sumbangan atau bantuan kepada orang lain, lakukanlah kerana ia merupakan amalan terpuji.
Sama juga apabila berwakaf, ramai yang akan mendapat manfaat daripada perbuatan tersebut.
Seperti yang dilakukan oleh seorang lelaki di Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini yang telah mewakafkan RM60,380.
Namun, ada kisah pilu di sebalik kemurahan hatinya itu.
BACA: “Wakafkan Tanah, Kini Bernilai Lebih RM150 Juta”, Kisah Ahmad Dawjee Dadabhoy, Hartawan Zuhud Wakafkan Tanah Untuk Pembangunan Umat Islam
Menerusi perkongsian Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), lelaki warga emas itu telah mewakafkan wang terbabit atas nama arwah isterinya yang meninggal dunia pada 29 Oktober lalu.
“Sumbangan wakaf tersebut adalah hasil daripada penjualan emas milik al-marhumah beserta wang simpanan yang ditemui oleh suaminya selepas pemergian beliau,” kata MAINS.
Kongsi MAINS lagi, emas dan simpanan itu sempat dihibahkan kepada lelaki itu oleh arwah isterinya. Bagaimanapun, lelaki itu dengan penuh keikhlasan memilih untuk tidak menggunakan walau satu sen pemberian tersebut.
“Beliau sebaliknya menzahirkan rasa cinta, kasih dan sayang terhadap al-marhumah isteri dengan mewakafkan keseluruhan jumlah tersebut demi manfaat umat dan sebagai amal jariah yang berpanjangan.
“MAINS menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas kemurahan hati dan keikhlasan pewakaf ini. Tindakan tersebut bukan sahaja mencerminkan keimanan yang mendalam dan kasih sayang yang tulus, tetapi juga menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus beramal dan berbakti melalui instrumen wakaf,” ujar MAINS.
Dalam pada itu, MAINS juga berkata pihaknya sentiasa komited dalam menguruskan harta wakaf dengan telus dan berkesan agar manfaatnya dapat disalurkan kepada sektor-sektor pembangunan umat seperti pendidikan, sosioekonomi dan kesihatan.
“Semoga Allah SWT mengurniakan ganjaran pahala yang berlipat ganda kepada pewakaf serta menempatkan al-marhumah isterinya dalam kalangan hamba-Nya yang beramal soleh, dilapangkan kuburnya dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab,” katanya lagi.
Sumber: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan
The post Suami Wakaf Lebih RM60,000 Hibah Arwah Isteri Demi Pahala Berpanjangan appeared first on Siakap Keli.


