BUKIT MERTAJAM - Suasana pilu dan hiba menyelubungi kediaman abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Idrus Ibrahim yang menghembuskan nafas terakhir pada petang Khamis akibat sakit tua.
Pada usia 83 tahun, pemergian insan tersayang itu meninggalkan kenangan mendalam buat seluruh ahli keluarga serta penduduk setempat yang mengenali peribadi Allahyarham.
Di halaman luar rumah, kelihatan beberapa orang tetamu dan waris sedang berdiri sambil berbual perlahan, saling menguatkan antara satu sama lain di atas ujian pemergian ini.
**media[3657833]**
Khemah khas juga telah disediakan di bahagian tepi kediaman bagi kemudahan para tetamu yang hadir menziarahi dan memberikan penghormatan terakhir.
Terdahulu, Anwar memaklumkan pemergian abang kesayangannya itu menerusi hantaran di media sosial ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia daripada lawatan kerja di China.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas segala kenangan dan kebaikan yang ditinggalkan Allahyarham serta menyifatkan pemergian itu sebagai satu kehilangan besar buat keluarga.
Dalam hantaran sama, Anwar memohon orang ramai mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham.





