Suasana sebak sambut ketibaan jasad Koperal Teck Siong

7 Aug 2026 • 9:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Suasana sebak sambut ketibaan jasad Koperal Teck Siong
Suasana sebak sebaik jasad Koperal Chiu Teck Siong mendiang tiba di Lapangan Terbang Sibu, Sarawak.

SIBU - [DIKEMAS KINI] Jasad Koperal Chiu Teck Siong tiba di Lapangan Terbang Sibu kira-kira jam 6 petang Jumaat selepas diterbangkan khas dari Kota Kinabalu.

Ketibaan jasad disambut dalam suasana sebak oleh ahli keluarga sebelum dibawa ke rumah mayat di Jalan Bukit Lima sebelum urusan pengebumian.

ARTIKEL BERKAITAN: Jolok kelapa guna galah besi punca tiga polis maut terkena renjatan elektrik

Mendiang merupakan seorang daripada tiga anggota polis yang maut akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Weston, Beaufort.

Sebelum itu, jasad mendiang bersama dua lagi mangsa, Lans Koperal Nur Hafiz Ibrahim dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarudee selesai menjalani bedah siasat di Unit Forensik Patologi, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu.

Difahamkan, mendiang meninggalkan seorang balu dan lima anak masing-masing berusia 11, 10, 7, 6, dan 4 tahun.

Isteri mendiang, Tang Wei Wei, 39, yang masih terkejut dengan kejadian itu memaklumkan bahawa beliau menerima berita pemergian suaminya menerusi panggilan telefon dari Sabah pada malam hari kejadian kira-kira jam 8 malam.

Katanya, mendiang sepatutnya mengambil cuti dan dijadualkan pulang ke Sibu pada 27 Ogos ini untuk bertemu serta meluangkan masa bersama keluarga.

"Kali terakhir anak-anak berjumpa dengan mendiang adalah pada sambutan Tahun Baharu Cina yang lalu," katanya.

Mendiang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan telah berkhidmat di Sabah selama lebih 11 tahun sejak penempatan pertamanya.

Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh memaklumkan jasad mendiang diiring ke Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu sebelum diterbangkan ke Sarawak.

Jasad diiringi oleh pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

Sementara itu, dua lagi jenazah turut diiringi menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk dihantar ke negeri masing-masing iaitu Kelantan dan Terengganu.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan, ketiga-tiga anggota yang bertugas di Balai Polis Weston maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa menggunakan galah besi yang terkena kabel utama elektrik.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved