
KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata maklumat Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan digunakan sebagai rujukan silang, dibantu data pelbagai agensi kerajaan bagi menentukan kriteria dan kelayakan penerima subsidi bersasar petrol RON95 yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.
Beliau berkata, PADU digunakan sebagai pengesahan kelayakan subsidi petrol RON95, memandangkan ia bukan saja mengandungi maklumat yang dikemas kini rakyat secara sukarela, malah turut menggabungkan data daripada pelbagai agensi kerajaan.
Merujuk laman web PADU, sistem pangkalan data itu dibangunkan Kementerian Ekonomi dengan kerjasama kementerian dan agensi lain termasuk Jabatan Kebajikan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pengangkutan, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Memetik laporan BH, Amir Hamzah berkata, PADU adalah antara pangkalan data yang menjadi rujukan Kementerian Kewangan untuk menjana kriteria penentuan kelayakan penerima subsidi kerana ia adalah repositori data profil individu dan isi rumah warga negara serta pemastautin tetap di Malaysia.
Beliau yang turut menggalas tugas Menteri Ekonomi, berkata ketersediaan data PADU tidak terhad kepada data individu yang telah melaksanakan pengemaskinian dalam sistem itu saja, bahkan turut merangkumi data daripada pelbagai agensi yang membabitkan pendaftaran atau pengemaskinian oleh rakyat.
Selain itu, katanya, komponen lain dalam mekanisme itu adalah kaedah penyaluran fleksibel dan proses rayuan yang telus.
"Sebagaimana sedia maklum, pada masa ini kerajaan sedang merangka mekanisme pelaksanaan yang bersepadu bagi memastikan penyasaran subsidi petrol RON95 diterima oleh orang yang benar-benar layak.
Penjelasan itu sebagai menjawab persoalan mengenai potensi keciciran mereka yang layak menerima subsidi bersasar RON95, namun tidak mendaftar dan mengemas kini dengan PADU.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu, mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter bagi warganegara Malaysia menjelang akhir September apabila penyasaran subisidi dilaksanakan.
Inisiatif itu bakal memberi manfaat kira-kira 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal, termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.
Jumlah pendaftar PADU pada akhir Mac 2024 dilaporkan mencapai 10.8 juta orang atau sekitar 48.3% daripada sasaran 50% rakyat Malaysia yang perlu mendaftar.
Pendaftaran PADU yang dilancarkan pada 2 Januari 2024 ditutup bermula 1 April 2024. - 15 September, 2025
The post Subsidi bersasar RON95: PADU, data silang pelbagai agensi jadi rujukan pelaksanaan appeared first on Scoop.
